Agong cari jalan selesai kemelut negara

A
A
A

SHAH ALAM - Istana Negara menjadi tumpuan hari ini apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap ketua-ketua parti politik.

Difahamkan, pertemuan secara berperingkat itu dimulakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Selepas perbincangan tersebut, Tuanku akan mengadakan sesi pra-kabinet bersama Muhyiddin yang merupakan rutin pada setiap hari Rabu.

Perdana Menteri kemudian akan kembali ke Putrajaya bagi mengadakan mesyuarat kabinet dengan semua menteri.

Setelah itu, barulah Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap semua ketua parti yang telah dipanggil bagi membincangkan beberapa perkara penting melibatkan urusan pentadbiran negara.

Menurut satu sumber, terdapat tiga perkara penting yang akan dibangkitkan dalam pertemuan tersebut iaitu perkembangan terkini mengenai Covid-19, darurat dan juga Parlimen.

“Secara logiknya, ini merupakan tiga perkara yang amat penting kepada negara pada ketika ini lebih-lebih lagi berkaitan tempoh darurat yang akan berakhir pada 1 Ogos ini.

“Tuanku telah memanggil menghadap kesemua ketua parti ini bagi mendapatkan pandangan mereka tentang darurat sama ada akan diteruskan ataupun sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

“Kemudian tentang pelaksanaan sidang Parlimen secara hibrid yang dicadangkan baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelas sumber itu, selepas pertemuan dengan ketua-ketua parti, Seri Paduka Baginda akan mengadakan pertemuan dengan Raja-Raja Melayu pada 16 Jun untuk merundingkan semua perkara yang dibangkitkan itu.

Satu lagi sumber yang enggan dinamakan berkata, terdapat kemungkinan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan sehingga tempoh penggal Parlimen berakhir pada tahun 2023.

“Banyak pihak mula membangkitkan tentang perkara ini.

“Ia bagi membolehkan suhu panas politik negara dikurangkan dan semua pihak termasuk pembangkang dapat bekerjasama untuk selamatkan negara,” katanya.

Kerajaan kini sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Langkah itu diambil bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara berdepan dengan pandemik Covid-19 dan program pemulihan di semua peringkat.

Parlimen tidak bersidang susulan Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari lalu memberi perkenan supaya darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos depan untuk membendung Covid-19.

Bagaimanapun, Seri Paduka Baginda pada 24 Februari lalu, bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah buat pertama kali dalam sejarah negara menemu bual kesemua 222 ahli Parlimen bagi mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut pelantikan Perdana Menteri kelapan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari tahun lalu.