'Mengapa OKU macam saya tak layak'

Ishak (kanan) ketika ditemui di sebuah kedai membaiki kasut di bazar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kisah seorang lelaki kurang upaya (OKU) terkilan setelah mendapati dirinya tidak layak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 yang disiarkan semalam, menjadi tular.

Kisah Ishak Awi, 59, tular setelah ia dikongsi di laman sosial Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehingga jam 9.30 malam ini, perkongsian itu mendapat 34,000 reaksi, 5,000 komen dan 4,600 perkongsian.

Ishak yang ditemui di tempat kerjanya, petang tadi, mengakui menerima banyak panggilan telefon bertanyakan status kelayakannya itu.

"Ramai yang telefon tanya pasal ni. Saya rasa bagus juga cerita saya keluar dalam akhbar, sekurang-kurangnya ramai yang tahu masalah ini.

"Dulu zaman Najib, dapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM450, kenapa sekarang tak dapat.

"Sepatutnya, biar dapat semua untuk OKU, ibu dan bapa tunggal persendirian," katanya.

Ishak yang kudung dua belah kaki serta cacat tangan kiri sejak lahir tidak layak memohon BSH 2019 sebanyak RM450 dan masih belum layak memohon kategori warga emas disebabkan usianya masih belum mencukupi 60 tahun.

Dia perlu menyemak semula status permohonan bagi kategori bujang yang akan dibayar sebanyak RM100.

Permohonan bagi kategori itu akan dibuka bermula hujung Mac depan.