Apa cerita komputer riba?

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

PADA 6 November 2020, Menteri Kewangan umumkan sejumlah 150,000 komputer riba akan diberikan pada pelajar daripada keluarga B40 di seluruh negara.

Semuanya di bawah Inisiatif Cerdik oleh Yayasan Hasanah.

Maka bersoraklah ahli-ahli Parlimen kerajaan. Hari ini 9 Jun 2021. Dah tujuh bulan lebih. Apa yang berlaku?

Dua hari lepas, Menteri Pendidikan umumkan hanya 12,887 unit komputer riba telah diedarkan setakat ini.

Sebanyak 40,290 unit lagi akan diedarkan pada 12 Jun, bakinya dijangka ‘akhir September’.

Awang tak faham kenapa tak ada jadual agihan yang boleh dijadikan panduan.

Inilah masalah kita, Menteri Kewangan umum, kementerian lain tak tahu apa-apa.

Mungkin tidak ada perbincangan pun. Yang dipersalahkan nanti ialah Menteri Pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Awang setuju dengan beberapa orang pemimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang mahu kementerian selesaikan dahulu pemberian komputer riba sebelum laksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pada masa pandemik Covid-19 ini, pelajaran terganggu. Inilah masanya PdPR dijalankan sepenuhnya.

Sudah banyak bulan anak-anak kita kehilangan waktu belajar.

Peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun sudah ditangguhkan ke tahun hadapan.

Utamakanlah apa yang patut diutamakan. Janji mesti ditepati.

Menteri Kewangan pun jangan fikir sorak dan hentak meja di Parlimen, bererti kerjanya selesai.