Serang Vietnam habis-habisan!

Skuad Harimau Malaya berdepan misi wajib menang ketika menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum pada 12 Jun ini. - Foto FB FAM
Skuad Harimau Malaya berdepan misi wajib menang ketika menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum pada 12 Jun ini. - Foto FB FAM
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak akan mengunakan taktikal bertahan ketika menentang Vietnam walaupun selepas melihat lawannya itu mudah membelasah Indonesia 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada awal pagi Selasa.

Menurutnya, Harimau Malaya tidak akan mengubah corak permainan dan akan lebih agresif menyerang kubu skuad naga emas itu untuk meraih keputusan positif pada pertembungan kedua-dua pasukan di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 12 Jun ini.

"Saya rasa kita perlu kekalkan cara permainan kita dan perlu menambah baik dari segi kekuatan pasukan selain perlu kurangkan kesalahan individu. Kita juga tahu bahawa Vietnam ini berbahaya terutama daripada serangan balas mereka.

"Sebab itu, saya tekankan fokus kepada serangan dan dalam masa sama sentiasa berwaspada dengan serangan balas pasukan Vietnam. Malah, kebanyakan perlawanan juga kita tidak bertahan kerana the best defense is a good offense.

"Apa yang penting adalah kita kena bermain sebagai satu pasukan dan saya percaya dengan kesebelasan utama yang akan diturunkan dapat berikan keputusan positif dalam perlawanan itu," katanya dalam sidang media secara maya pada Selasa.

Cheng Hoe yang turut berada di Stadium Al Maktoum untuk 'mengintip' pertembungan antara Vietnam dan Indonesia itu turut mengakui corak permainan Vietnam tidak berubah berbanding perlawanan pertama ketika mereka tewas di Stadium My Dinh pada Oktober 2019.

"Kita tahu corak permainan Vietnam tidak berubah dari segi pertahanan dan menyerang. Mereka ada pemain yang sama walaupun tanpa penjaga gol utama. Kita nampak keseluruhan pasukan Vietnam mempunyai corak permainan seperti biasa yang sering digunakan coach Park (Hang-seo).

"Empat perlawanan terakhir juga kita tidak menang menentang mereka, tetapi pemain kita sudah tahu corak permainan pasukan itu. Setiap kali kita bertemu dengan Vietnam, kita dapat banyak peluang untuk jaringkan gol, jadi kita perlu ambil peluang itu untuk menjaringkan gol.

Artikel Berkaitan:

"Mereka juga telah kehilangan Nguyen Quang Hai akibat digantung perlawanan dan dia adalah seorang pemain perancang dalam pasukan Vietnam dan banyak sumbang gol.

"Mungkin sedikit khabar gembira buat pasukan kebangsaan tetapi saya rasa coach Park juga ada sebut dia tidak terlalu khuatir kerana dia juga ada perancangan lain di posisi tersebut.

"Mungkin kita boleh ambil kesempatan ketiadaan pemain itu dan menggunakan peluang yang ada terutama jentera serangan untuk lebih berkesan dalam perlawanan itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Cheng Hoe juga tidak mahu memberikan tekanan kepada para pemainnya walaupun di atas kertas jelas memperlihatkan keputusan positif dan kemenangan perlu digapai dalam dua perlawanan terakhir menentang Vietnam dan Thailand untuk layak secara merit ke Piala Asia.

"Kita sedar kemenangan adalah sesuatu yang diharapkan dalam keadaan ini, namun saya tidak mahu memberikan tekanan kepada pemain selain mengharapkan mereka terus fokus dalam dua perlawanan terakhir ini," jelasnya.