Dakwaan kakitangan kilang pakai gelang pink dibenar bekerja palsu

Rahmad bercakap kepada pemberita selepas melawat sebuah kilang pengeluar semi-konduktor di Batu Berendam lewat petang tadi. Foto Bernama
Rahmad bercakap kepada pemberita selepas melawat sebuah kilang pengeluar semi-konduktor di Batu Berendam lewat petang tadi. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Dakwaan kakitangan sebuah kilang pengeluar semikonduktor di Batu Berendam di sini, yang dibenar bekerja walaupun memakai gelang pink adalah tidak benar, kata Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata, hanya kakitangan yang bebas daripada wabak berkenaan dibenarkan hadir bekerja, dengan jumlah pekerja kilang berkenaan kini dikurangkan 40 peratus daripada keseluruhan kira-kira 9,000 pekerja.

“Secara keseluruhan hanya kira-kira 1,500 pekerja dibenar bekerja dalam tiga syif yang ditetapkan sehari, membabitkan sembilan blok di kilang berkenaan yang beroperasi 24 jam.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan memantau ketat isu melibatkan kilang tersebut, kerana ia telah mencetuskan kluster tempat kerja dan ia merupakan yang ketiga berlaku di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke kilang berkenaan di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pekerja kilang berkenaan perlu menjalani saringan RTK (Rapid Test Kit Antigen) setiap hari, sebelum dibenar masuk bekerja sehingga ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) kedua, yang dijadual dijalankan pada Khamis ini.

Katanya, kos berkenaan ditanggung sepenuhnya pihak pengurusan kilang, dalam usaha memastikan kakitangan yang dibenar bekerja bebas wabak tersebut.

Rahmad berkata, bagi kes terbaharu melibatkan kilang berkenaan, kira-kira 25 kes membabitkan kontak rapat daripada keseluruhan kira-kira 1,400 orang dari blok 7, 8, dan 9, yang dikesan positif Covid-19 menerusi saringan bersasar Jumaat lepas.

“Justeru kilang tersebut dibenar beroperasi selepas Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah melakukan penilaian risiko, dan perlu mengikut syarat ketat yang ditetapkan, antaranya melakukan nyah cemar di kawasan premis dan jumlah kapasiti pekerja dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya selepas ini terdapat peningkatan kes sekurang-kurangnya lima peratus daripada jumlah pekerja yang dibenarkan beroperasi, kita tidak teragak-agak untuk menutup kilang berkenaan serta-merta,” katanya.

Ppada Isnin, tular di media sosial dakwaan Kementerian Kesihatan memberi kebenaran kepada pekerja kilang terbabit, khususnya di blok 7,8 dan 9 yang memakai gelang pink untuk bekerja, dengan maksimum 40 peratus pekerja dibenar bekerja.

Sebelum ini, kilang milik syarikat dari Jerman itu pernah diarah tutup serta-merta, selepas 398 kakitangan serta ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19, dan diisytiharkan sebagai Kluster Industri Batu Berendam. - Bernama