Smart tangani isu ketidakhadiran penerima vaksin

Mas Ermieyati (kanan) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang penerima vaksin di PPV Kompleks Sukan Masjid Tanah pada Selasa.
Mas Ermieyati (kanan) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang penerima vaksin di PPV Kompleks Sukan Masjid Tanah pada Selasa.
A
A
A

ALOR GAJAH - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dicadangkan menelefon penerima yang tidak memberi respons pengesahan kehadiran di aplikasi MySejahtera bagi menjejaki penerima vaksinasi dan mengatasi isu ketidakhadiran.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kaedah itu dilihat berkesan apabila peratusan ketidakhadiran PPV di kawasan Parlimen tersebut turun mendadak dalam tempoh seminggu pelaksanaan program Sukarelawan Masjid Tanah (Smart).

Menurutnya, PPV dalam kawasan Parlimen itu pernah merekodkan ketidakhadiran lebih 200 penerima setiap hari dan jumlah tersebut menurun kepada kurang 50 individu.

“Dengan pendekatan menghubungi penerima vaksin kita lihat ketidakhadiran sebanyak 50 peratus berjaya dikurangkan kepada 20 peratus.

“Maksudnya panggilan telefon ini benar-benar memainkan peranan penting dan saya suka mencadangkan apa yang telah diguna pakai di PPV ini digunakan di tempat lain,” katanya ketika membuat tinjauan di PPV Kompleks Sukan Masjid Tanah di sini, pada Selasa.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) berkata, panggilan itu telah dibuat dengan bantuan sepasukan lapan sukarelawan di bawah program Smart yang telah bekerjasama dengan PPV.

Menurutnya, senarai panggilan diberikan oleh pasukan perubatan di PPV yang menyasarkan kepada mereka yang tidak memberi respons pengesahan kehadiran di MySejahtera.

“Setiap panggilan akan dilakukan sehari sebelum tarikh yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga akan mengingatkan penerima mengenai beberapa perkara lain termasuklah membawa kad pengenalan, bekalan air dan makan terlebih dahulu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!