X

Kindly register in order to view this article
!

Pusat jagaan terbabit kluster baharu Covid-19 tidak berdaftar JKM

Kenyataan akhbar oleh Rina pada Selasa.
A
A

SHAH ALAM - Pusat jagaan warga emas yang dilaporkan menjadi punca kepada kluster baharu Covid-19 didapati masih belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, semakan JKM mendapati pusat jagaan berkenaan belum berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) dan masih lagi di peringkat kelulusan agensi teknikal.

“Susulan situasi yang berlaku di pusat jagaan berkenaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui JKM akan terus memantau pusat jagaan ini bagi memastikan kebajikan dan kepentingan penghuni warga emas tidak terabai,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Ahad, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebuah kluster baharu dikesan di sebuah rumah jagaan warga emas yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.

Sehubungan itu, Rina berkata, semua pusat jagaan diminta supaya mematuhi Garis Panduan Pencegahan Penularan Jangkitan Penyakit Covid-19 Di Pusat Jagaan Berdaftar (Berkediaman Dan Harian) dalam usaha mengekang penularan Covid-19 kepada penghuni.

Katanya, pusat jagaan juga diarahkan untuk mematuhi dan mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memastikan tiada kluster-kluster baharu di pusat jagaan lain,” jelasnya.

Pada masa sama, Rina berkata, JKM turut menggesa supaya semua pusat jagaan yang masih belum berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 untuk tampil berdaftar dengan JKM bagi memastikan kualiti perkhidmatan, kebajikan, aspek keselamatan dan kesejahteraan penghuni terjamin.

“Pusat jagaan yang berdaftar akan sentiasa menerima khidmat nasihat daripada JKM dan agensi teknikal, di samping dapat menikmati insentif-insentif yang disediakan oleh kerajaan,” jelasnya.

Rina berkata, sebarang pertanyaan berkenaan proses pendaftaran, pusat jagaan boleh menghubungi atau hadir di mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran.

Katanya, pertanyaan lanjut berhubung perkara berkenaan juga boleh diajukan melalui Talian Kasih 15999 dan talian WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam sehari.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!