Kerajaan bakal wujudkan pangkalan data tunggal rentas agensi

Muhyiddin
Foto: FB Muhyiddin
Muhyiddin Foto: FB Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bakal mewujudkan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) rentas agensi yang akan meliputi elemen pekerjaan, insurans sosial dan bantuan sosial, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pangkalan data tersebut yang akan dijadikan sebagai rujukan tunggal dalam program dan profil perlindungan sosial negara itu dijangka memberi kesan serta liputan lebih baik serta menyeluruh khususnya kepada golongan rentan.

“Ini bertepatan dengan hasrat saya yang mahu satu pendekatan baharu lebih berkesan dalam menyediakan liputan perlindungan sosial menyeluruh terutama kepada kumpulan rentan dapat disediakan.

“Rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 serta kelompok yang tidak diliputi oleh mana-mana jaringan keselamatan sosial negara seperti mereka yang berada dalam sektor tidak formal dan persendirian perlu dikenal pasti keperluan masing-masing agar bantuan segera bertepatan dapat diberikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat pertama MySPC secara sidang video pada Selasa.
Foto: FB Muhyiddin
Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat pertama MySPC secara sidang video pada Selasa. Foto: FB Muhyiddin

Muhyiddin berkata, perkara tersebut merupakan antara isu yang diberi penekanan dalam mesyuarat pertama Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) berlangsung secara sidang video pada Selasa.

Menurutnya, mesyuarat yang dipengerusikan beliau itu turut memberikan tumpuan terhadap agenda perluasan dan pemantapan program jaringan keselamatan sosial negara.

Antaranya ialah melalui cadangan penambahbaikan dan perluasan skim perlindungan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada kelompok yang tidak diliputi oleh mana-mana jaringan keselamatan sosial.

Artikel Berkaitan:

“Dengan jaringan keselamatan sosial negara diperkukuh dan diperluaskan melalui MySPC, saya yakin lebih banyak isi rumah kategori miskin atau miskin tegar dapat dibantu dan dilindungi.

“Bantuan sosial yang diberikan tidak harus terhad kepada bantuan tunai atau pemberian bakul makanan sahaja, sebaliknya meliputi aspek mobiliti sosial serta nilai tambah yang boleh meningkatkan pendapatan mereka,” jelasnya.