DPIM gesa kerajaan peruntuk lesen penubuhan bank wakaf digital

Kenyataan akhbar oleh Mohammad Sahar pada Selasa.
Kenyataan akhbar oleh Mohammad Sahar pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan supaya memberikan peruntukan khas dengan menyediakan sekurang-kurangnya satu lesen bank digital bagi membolehkan penubuhan sebuah bank wakaf digital milik institusi wakaf negara.

Presidennya, Mohammad Sahar Mat Din berkata, usaha untuk mewujudkan bank wakaf digital merupakan sesuatu yang sangat penting bagi memacu penglibatan umat Islam dalam sistem kewangan yang berteknologi tinggi.

Beliau berkata, selain dapat melaksanakan amalan wakaf dengan cara yang lebih sistematik, efisien, mudah dan selamat, bank wakaf digital juga didapati mampu menghasilkan perkhidmatan asas patuh syariah seperti simpanan deposit serta perkhidmatan pinjaman.

“Untuk tujuan ini, DPIM menggesa supaya kerajaan memberi peruntukan khas sekurang-kurangnya satu lesen bank digital patuh syariah untuk membolehkan penubuhan satu bank waqaf digital milik institusi wakaf.

“Penggabungan pengurusan wakaf dengan bank digital pasti akan memulakan satu pembaharuan dalam sikap ummah terhadap amalan wakaf, yang boleh mencapai potensi wakaf sebagai ekonomi ketiga dalam sistem ekonomi Islam.

“Cita-cita ini tidak boleh dijayakan tanpa kemahuan politik dari Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan lesen ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada masa sama, Mohammad Sahar berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa terdapat gabungan institusi wakaf milik umat Islam yang sedang memohon lesen bank digital tersebut daripada pihak Bank Negara Malaysia bagi tujuan merealisasikan matlamat ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bank digital merupakan satu inovasi yang dijangka akan membawa perubahan terhadap landskap perbankan dan kewangan global.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesan daripada perkembangan tersebut turut menyebabkan perubahan terhadap pola dan ciri demografi, perdagangan, aliran modal, aliran modal insan dan maklumat yang pastinya akan dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk yang beragama Islam.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin bumiputera yang beragama Islam supaya sedar mengenai kepentingan perkembangan tersebut dan akibatnya kepada kelangsungan masa depan serta kebajikan ummah.

Katanya, sistem bank wakaf yang dicadangkan itu bakal memastikan kestabilan sistem kewangan melalui institusi wakaf yang menggunakan sumber tidak memiliki tempoh matang atau tempoh matang yang panjang.

“Dengan memaksimumkan sumber bakat dan kepakaran kewangan Islam sedia ada di Malaysia dalam pengurusan, kewangan, pelaburan, teknologi, pengurusan risiko dan kepatuhan syariah, ia boleh membantu prestasi wakaf pelaburan ke tahap yang lebih tinggi,” jelasnya.