Sempadan, perairan di Perak terkawal

Saarani (duduk, tiga dari kiri) mendengar taklimat mengenai pelaksanaan PKPD di Taman Berkat, Matang, Taiping pada Selasa.
Saarani (duduk, tiga dari kiri) mendengar taklimat mengenai pelaksanaan PKPD di Taman Berkat, Matang, Taiping pada Selasa.
A
A
A

TAIPING - Pasukan keselamatan di perairan Perak sentiasa bersiap sedia memastikan kawalan sempadan negara dikawal rapi bagi mengelak kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Ops Benteng yang dilaksanakan ketika ini mampu menangani kehadiran Pati di kawasan sempadan mahupun perairan di negeri ini.

"Setakat ini saya belum terima laporan tetapi saya yakin pasukan penguatkuasaan di perairan dan sempadan negara seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa bersiap sedia menangani sebarang ancaman.

"Malah, dengan adanya Ops Benteng, Insya-ALLAH semua terkawal," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Berkat Matang di sini pada Selasa.

Hadir sama ialah Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan melihat keperluan untuk menambah peruntukan sedia ada bagi membantu mereka yang terjejas akibat pelaksanaan PKPD.

Menurutnya, sehingga kini kerajaan sudah menyalurkan bantuan kepada semua Pejabat Daerah dan Tanah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membantu golongan memerlukan.

Jelasnya, kebanyakan bantuan yang disalurkan melibatkan pemberian keperluan makanan asas bagi memastikan mereka terus berada di rumah dalam tempoh PKPD.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak bagi membantu penduduk khususnya di dalam kawasan PKPD.

"Cuma kita minta sebarang bantuan atau sumbangan yang ingin disalurkan dihantar ke pusat kawalan operasi bencana yang ditetapkan untuk diagihkan kepada penduduk.

"Barang-barang yang ingin disalurkan juga mestilah barangan kering yang tidak mudah rosak bagi memudahkan bertugas mengagihkan," katanya.