Penularan Covid-19 di Malaysia kekal sangat serius: Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia kekal menghadapi penularan wabak Covid-19 pada situasi yang sangat serius.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, bahaya penularan Covid-19 dan kapasiti hospital terutama di tahap kritikal boleh meningkat sekiranya semua pihak alpa.

"Ia terutama sekiranya ada pihak yang menyebarkan interpretasi yang tidak benar mengenai situasi semasa ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, tempoh rawatan di fasiliti kesihatan bagi kategori empat dan lima di hospital seluruh negara berhadapan dengan peningkatan kes bergejala serius.

"Pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, golongan tersebut memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi serius daripada jangkitan Covid-19.

"Statistik yang diterima Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori empat ialah antara 14 ke 16 hari," katanya.

Menurut beliau, pesakit kategori lima pula memerlukan tempoh rawatan sehingga 26 hari.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sehingga 6 Jun lalu, kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 bukan unit rawatan rapi (ICU) di hospital menunjukkan sedikit penurunan dalam tempoh dua minggu iaitu dari 99 kepada 89 peratus.

"Begitu juga dengan kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) sebanyak 54 peratus.

Tempoh rawatan di fasiliti kesihatan bagi kategori empat dan lima di hospital seluruh negara berhadapan dengan peningkatan kes bergejala serius. - Gambar hiasan
Tempoh rawatan di fasiliti kesihatan bagi kategori empat dan lima di hospital seluruh negara berhadapan dengan peningkatan kes bergejala serius. - Gambar hiasan

"Bagaimanapun, kadar penggunaan katil Covid-19 di ICU telah meningkat dari 96 peratus pada 24 Mei hingga 104 peratus pada 6 Jun 2021," katanya.

Menurutnya, kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU.

Sementara itu, beliau berkata, statistik menunjukkan penurunan jumlah kes positif Covid-19 pada minggu epid (ME) ke-22 pada ME ke-22 iaitu sebanyak 1,379 kes berbanding ME ke-21.

"Situasi ini susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 oleh kerajaan bermula pada 12 Mei lalu," katanya.

Namun begitu, katanya, dalam tempoh sama, jumlah kes aktif didapati terus meningkat berikutan peningkatan mendadak pada ME ke-20 dan ME ke-21.

"Pada awal ME ke-21 (23 Mei), jumlah kes aktif ialah sebanyak 57,022 kesdan pada awal ME ke-22 (30 Mei) pula, ia meningkat kepada 78,017 kes.

"Meskipun terdapat penurunan 2.6 peratus kes mingguan, namun jumlah kes aktif masih terus meningkat," kata beliau.

Setakat ini, katanya, jumlah kes aktif yang masih dalam rawatan dan pemerhatian ialah sebanyak 82,797 kes.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai agar kekal berada di rumah dan mengamalkan norma baharu serta patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif.

"Sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen, maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri di aplikasi MySejahtera atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.

"Bawa keputusan ujian dan hadir ke Covid-19 Assessment Centre (CAC) yang berdekatan di daerah anda untuk penilaian lanjut," katanya.