Setiausaha Politik MB Terengganu buat laporan polis terhadap portal

Muhyiddin menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat beliau di IPD Kuala Terengganu pada Selasa.
Muhyiddin menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat beliau di IPD Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid membuat laporan polis berhubung satu artikel disiarkan oleh sebuah portal yang disifatkan sebagai fitnah terhadap menteri besar.

Muhyiddin membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 4 petang pada Selasa.

Menurut Muhyiddin, kandungan artikel itu berniat jahat terhadap kredibiliti Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Ia termasuklah menteri besar telah hilang sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu daripada Pas, parti yang menguasai kerajaan.

“Menteri besar tidak mengurus dan mentadbir negeri sepanjang tempoh darurat dengan baik dan tidak mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat sepanjang pandemik Covid-19 selain adanya usaha untuk menjatuhkan menteri besar daripada seorang ahli parlimen daripada Pas,” katanya.

Muhyiddin berkata, ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dan mencari sokongan politik murahan dalam keadaan kerajaan negeri dan rakyat sedang menghadapi ancaman pandemik Covid-19.

Beliau turut percaya ada pihak mahu menimbulkan keresahan dan kekalutan kepada rakyat dengan membuat hasutan seumpama itu dengan tujuan membina prasangka buruk bagi menerbitkan rasa benci kepada kerajaan.

“Oleh kerana itu saya harap pihak berkuasa dapat membuka kertas siasatan atas laporan yang disiarkan portal ini dan sumber berita yang dipetik di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1970 dan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 bagi menyekat perbuatan fitnah berterusan di dalam negeri ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebuah portal pada Selasa melaporkan kedudukan Ahmad Samsuri kini tersepit antara masalahnya dengan pihak istana dan juga usaha pimpinan lain dalam Pas untuk mengambil alih tempat beliau.

Satu borang 'surat akuan berkanun' sudah disediakan untuk membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu menandatanganinya bagi menyatakan kesediaan mereka menolak Ahmad Samsuri sebagai menteri besar.

Ia didakwa disediakan untuk ADUN kedua-dua parti sama ada daripada Pas yang mempunyai 22 ADUN dan UMNO yang mempunyai 10 ADUN.