Majlis Naib Canselor IPTS bantu tingkat Pendidikan Tinggi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR- Majlis Naib Canselor Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dilancarkan hari ini sebagai platform perundingan dalam meningkatkan martabat pendidikan tinggi di negara ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM), majlis itu akan menjadi penghubung rundingan antara universiti swasta dan KPM serta agensi berkaitan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik melancarkan Majlis Naib Canselor IPTS yang turut menyaksikan Pro-Canselor Universiti MAHSA Prof Datuk Dr Khairul Anuar Abdullah dilantik sebagai pengerusi majlis berkenaan.

Menurut kenyataan itu, majlis tersebut dianggotai 14 individu terdiri daripada naib canselor universiti swasta bagi sesi 2019/2020.

Majlis Naib Canselor IPTS mewakili 63 universiti swasta yang terdiri daripada 53 universiti tempatan dan 10 kampus cawangan luar negara, menurut kenyataan itu.

"Akses alternatif yang ditawarkan IPTS telah memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi di dalam dan luar negara,” Maszlee dipetik sebagai berkata.

Menurut kenyataan itu, Maszlee dalam ucapannya turut menekankan tentang keperluan bagi penambahan dari segi penyampaian perkhidmatan, kualiti, dasar, proses dan prosedur yang melibatkan sektor pendidikan tinggi swasta.

Justeru, satu dokumen hala tuju IPTS di Malaysia yang meliputi enam perkara akan dibangunkan bersama oleh KPM dan IPTS pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Enam perkara tersebut meliputi pengharmonian Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) serta Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), pengantarabangsaan, tadbir urus, kelestarian dan inovasi, kata kenyataan itu.- Bernama