X

Kindly register in order to view this article
!

Sabak Bernam catat 175.9 tan metrik lambakan hasil pertanian

Laporan akhbar Sinar Harian pada Isnin melaporkan Agro Prihatin Selangor menerima 11 aduan berhubung lambakan komoditi pertanian pelbagai jenis di tiga daerah di negeri ini.
A
A

SABAK BERNAM - Jabatan Pertanian Daerah Sabak Bernam mengesan terdapat 175.9 tan metrik (tm) lambakan komoditi pertanian pelbagai jenis di daerah itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pegawai Pertanian Daerah Sabak Bernam, Aini Waznati Lasuan berkata, ia melibatkan sebanyak lima jenis komoditi pertanian iaitu pisang berangan sebanyak 105.1tm, pisang tanduk (59.5tm ) dan jagung (3.6tm)

Menurutnya, selain itu, hasil pertanian lain yang turut terkesan ialah ubi kayu (30tm) dan cili (1.47tm) dengan nilai keseluruhan lambakan berjumlah RM503,770.

"Kesemua lambakan hasil pertanian ini membabitkan 41.51 hektar tanaman dengan membabitkan seramai 29 petani di daerah Sabak Bernam," katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi Bencana Taman Pertama di sini pada Selasa.

Aini Waznati berkata, pihaknya telah membantu petani terbabit dengan menguar-uarkan hasil pertanian berkenaan kepada penduduk di sekitar Lembah Klang yang merupakan pasaran jualan terbesar.

Menurut beliau, penjualan hasil pertanian di kawasan Lembah Klang dilakukan peniaga pasar tani di kawasan kediaman penduduk.

"Penduduk di kawasan kejiranan di bandar seperti di pangsapuri atau di taman perumahan akan mengumpul tempahan untuk diberi kepada peniaga pasar tani yang kemudian akan mengambil bekalan dan seterusnya menghantar ke kawasan terbabit," katanya.

Beliau memberitahu, melalui kaedah itu, sebanyak 10tm pisang berangan dan tanduk dapat dijual dalam tempoh dua minggu.

"Hebahan penjualan (pisang berangan dan tanduk) ini turut dilakukan di Facebook dan WhatsApp," jelasnya.

Katanya, terdapat petani di daerah itu juga menjual hasil lambakan pertanian secara dalam talian di platform Shopee.

"Selain itu, kami turut menemui pemborong dan setakat ini ramai pemborong hubungi saya untuk mereka membeli secara terus dengan pihak petani," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Selangor terima aduan 30 tan lambakan hasil pertanian

Sinar Harian pada Isnin melaporkan Agro Prihatin Selangor menerima 11 aduan berhubung lambakan komoditi pertanian pelbagai jenis di tiga daerah di negeri ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Ir Izham Hashim berkata, tiga daerah yang terkesan ialah di Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!