Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga William Fidelis

Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga William Fidelis atas pemergian bekas jurulatih pasukan hoki wanita negara itu pada Isnin. - Foto FB Istana Negara
Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga William Fidelis atas pemergian bekas jurulatih pasukan hoki wanita negara itu pada Isnin. - Foto FB Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga William Fidelis atas pemergian bekas jurulatih pasukan hoki wanita negara itu pada Isnin.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Istana Negara pada Selasa, Seri Paduka turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan berharap agar seluruh keluarga bersabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.

“Seri Paduka amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang, khususnya kepada pasukan hoki negara serta menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan hoki negara,” menurut kenyataan itu.

Fidelis yang juga bekas pemain hoki Negeri Sembilan pada era 60-an dan 70-an menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun.

Mendiang merupakan jurulatih skuad hoki wanita kebangsaan yang berjaya menjulang pingat emas pada temasya Sukan SEA dan gangsa pada kejohanan Piala Inter-Continental, kedua-duanya pada tahun 1983.

Mendiang juga pernah membimbing skuad hoki lelaki Negeri Sembilan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2000 dan merupakan individu yang sangat aktif dalam bidang kejurulatihan sejak mula menceburinya pada 1963 sebelum bersara pada 2005. - Bernama

Artikel Berkaitan: