X

Kindly register in order to view this article
!

Anak tumbuk bapa, ugut bunuh ahli keluarga

Akibat kemahuan tidak dituruti, seorang anak tergamak mengugut bunuh dan mencederakan bapa kandungnya dalam kejadian di Kampung Carok Bakap, Kuala Ketil, pada Isnin. -Gambar hiasan
A
A

SUNGAI PETANI - Akibat kemahuan tidak dituruti, seorang anak tergamak mengugut bunuh dan mencederakan bapa kandungnya dalam kejadian di Kampung Carok Bakap, Kuala Ketil di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira 2 petang, lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan bertindak luar kawalan akibat ketagihan dadah dengan menumbuk bapanya yang berusia 54 tahun selain mengugut mahu membunuh ahli keluarga lain.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek yang sering mengamuk dan mengganggu orang lain ditegah keluar dari rumah menyebabkannya bertindak agresif.

"Suspek gagal ditenangkan sehingga membolehkan ahli keluarga memohon bantuan pihak polis," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Shamsudin, sebaik sahaja anggota polis tiba, suspek enggan memberi kerjasama sebaliknya terus bertindak agresif.

"Usaha memujuk suspek untuk menyerah diri gagal menyebabkan berlaku pergelutan semasa tangkapan sehingga suspek cedera di kepala dan mata," katanya.

Tambah beliau, suspek tidak dapat mengawal diri akibat ketagihan dadah sehingga bertindak mengamuk yang mengakibatkan bapanya cedera ringan di dada kanan.

Katanya, semakan juga mendapati suspek mempunyai dua kes lampau membabitkan dadah.

"Suspek akan direman bagi membantu siasatan dan kini sedang dirawat di Hospital Baling. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!