Teruja beli iPhone, pelajar IPTS rugi lebih RM17,000

E Sundra Rajan
E Sundra Rajan
A
A
A

MELAKA - Gara-gara mahu membeli telefon bimbit jenama iPhone pada harga murah akhirnya seorang seorang pelajar lelaki di sebuah institusi pengajian tinggi swasta mengalami kerugian lebih RM17,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa berusia 20 tahun dan menetap di Selandar, Jasin tertarik dengan tawaran telefon bimbit IPhone 12 pro Max berharga RM1,800 melalui Instagram pada Mei lalu.

Menurutnya, mangsa telah menghubungi suspek dan dimaklumkan penghantaran peranti itu akan dibuat dari Singapura, namun mangsa perlu membuat bayaran cukai penghantaran serta deposit kastam terlebih dahulu.

Katanya, suspek memberitahu sekiranya mangsa gagal berbuat demikian mangsa akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Mangsa yang tidak berfikir panjang telah memasukkan wang ke dua akaun berbeza sebanyak enam kali transaksi keseluruhannya berjumlah RM17,200.

"Namun selepas membuat pembayaran mangsa masih tidak menerima telefon bimbit seperti yang dijanjikan dan berasa ditipu lalu membuat laporan polis pada 7 Jun lalu di Balai Polis Selandar," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Sementara itu, seorang pelajar lelaki berusia 23 tahun turut mengalami kerugian lebih RM12,000 selepas terpedaya dengan satu iklan tawaran pekerjaan melalui laman sosial, Facebook yang menggunakan Aplikasi Ezjob sebelum menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp.

Ujar beliau, mangsa diminta suspek untuk membuat 60 tugas kerja menggunakan aplikasi Ezjob dan setiap tugasan dijanjikan akan mendapatkan wang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek memaklumkan mangsa hanya perlu 'like' video dan melihat iklan sebelum memberitahu mangsa telah selesai membuat 60 task kerja dan akan memperoleh pendapatan berjumlah RM17,290.

Bagaimanapun katanya, mangsa diminta membuat pembayaran terlebih dahulu untuk penebusan wang menggunakan aplikasi berkenaan. Mangsa bersetuju membuat transaksi wang menggunakan wang simpanannya dan ahli keluarga.

"Pada 4 Mei 2021 mangsa telah membuat lima transaksi pembayaran berjumlah RM12,810 ke akaun yang diberikan suspek.

"Selepas pembayaran dibuat, suspek memberitahu wang tersebut masih tidak mencukupi untuk membuat penebusan wang pendapatan dan meminta mangsa membuat lagi pembayaran.

"Namun mangsa tidak mengikuti arahan itu dan suspek gagal dihubungi sebelum mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau, Jasin pada 4 Jun lalu," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan sebarang tawaran penjualan dan sebagainya dalam talian selain membuat semakan ke atas nombor telefon atau nombor akaun yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.