Kerajaan darurat harapan rakyat, wajar dipertimbangkan Agong

Desas-desus pembentukan kerajaan darurat lahirnya daripada suara dan harapan rakyat untuk dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong.
Desas-desus pembentukan kerajaan darurat lahirnya daripada suara dan harapan rakyat untuk dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong.
A
A
A

SHAH ALAM - Desas-desus penubuhan kerajaan darurat sekiranya tempoh proklamasi darurat berakhir menjelang hujung bulan hadapan adalah merupakan satu harapan rakyat yang wajar dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, penubuhan kerajaan darurat adalah satu pilihan terbaik dalam usaha negara membendung pandemik Covid-19 secara lebih berkesan di samping menjamin kestabilan politik menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Jelas beliau, berita kemampuan negara jiran, Thailand melaksanakan program suntikan vaksinasi terhadap 400,000 rakyatnya dalam sehari seharusnya memberi pukulan hebat terhadap dalam usaha mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 (PICK) yang baru mencapai 150,000 suntikan terhadap rakyat sehari.

"Idea desas-desus kerajaan darurat terhasil tentunya berpunca daripada jumlah ahli jemaah kabinet kerajaan sedia ada yang besar, namun fungsi dan keberkesanannya tidak dapat dirasai rakyat.

"Idea penubuhan kerajaan darurat juga bagi memastikan tadbir urus kerajaan kembali seragam, tiada pertindihan kuasa serta kecelaruan hala tuju dalam memastikan pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi dapat ditangani sebaiknya," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Baru-baru ini, terdapat desas-desus bertiup kencang mengenai dakwaan Yang di-Pertuan Agong akan berjumpa dengan semua ketua-ketua parti politik bagi membincangkan penubuhan kerajaan baru.

Spekulasi itu bagaimanapun dinafikan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil yang menegaskan pemimpin parti politik itu tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Bagaimanapun, Sinar Harian difahamkan pertemuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama ketua-ketua parti politik pada 9 hingga 11 Jun ini hanyalah satu perjumpaan biasa dan bukan bertujuan membentuk kerajaan baharu.

Artikel Berkaitan:

Apa yang paling jelas, jika UMNO menarik diri daripada kerajaan, PN di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan tumbang.

Awang Azman bagaimanapun menegaskan keputusan sama ada Seri Paduka Baginda bersetuju untuk mewujudkan kerajaan darurat tanpa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) atau tidak, adalah bergantung kepada hasil maklum balas daripada ketua-ketua parti politik dalam satu pertemuan di Istana Negara pada 9 hingga 11 Jun ini.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan suara dan harapan rakyat untuk kerajaan darurat ditubuhkan sudah sampai ke pengetahuan Seri Paduka Baginda untuk dibuat pertimbangan terbaik.

"Jika kita lihat dalam keadaan sekarang, di mana PN tidak sekukuh mana, Seri Paduka Baginda sahajalah yang mampu untuk mententeramkan keadaan dan menghebatkan usaha membanteras Covid-19," jelasnya.

Sementara itu, peguam terkemuka, Haniff Khatri Abdulla mengesyor takzim kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat politik menurut Perkara 150 (2A) Perlembagaan Persekutuan bagi dijalankan serentak dengan proklamasi darurat sedia ada.

Jelas beliau, Seri Paduka Baginda mempunyai kuasa untuk menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Diraja berkaitan Darurat untuk mengendalikan tadbir urus negara dengan membatalkan Seksyen 11 (a) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

"Pada masa ini, kuasa tadbir urus negara sewaktu proklamasi darurat dilaksanakan masih dipegang kerajaan PN diterajui Perdana Menteri menerusi gubalan Seksyen 11 (a) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

"Bagaimanapun, kuasa pada dasarnya telah kembali dipegang Yang di-Pertuan Agong pada pelaksanaan mana-mana darurat. Kuasa dipegang kerajaan PN ketika ini hanyalah atas konsep 'amanah' daripada Seri Paduka Baginda," katanya.

Melalui tindakan itu, Haniff Khatri menjelaskan Seri Paduka Baginda mempunyai kuasa menggugurkan kesemua Jemaah Menteri, berdasarkan peruntukan Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan.

"Selanjutnya, Seri Paduka boleh menyerahkan kuasa eksekutif tadbir urus negara semasa tempoh darurat 'politik dan kesihatan' kepada satu Jawatankuasa Penasihat Diraja Darurat yang dilantik Tuanku, melalui penggubalan satu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang baharu.

"Melalui penubuhan Jawatankuasa Penasihat Diraja Darurat, keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kemampuan jawatankuasa berkenaan dalam menangani pandemik Covid-19 dan usaha membaik pulih ekonomi akan lebih melonjak.

"Jawatankuasa berkenaan mungkin boleh dianggotai tujuh individu yang diyakini mampu membantu Seri Paduka Baginda dalam memastikan tadbir urus negara dilaksanakan penuh efektif dan berkesan," katanya.