X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

50 penghuni Pondok Ahmadiah terima vaksin dos pertama

Seorang penghuni Pondok Ahmadiah di Kampung Padang Nyior, Kuala Nerang menerima vaksin dos pertama melalui Unit Bergerak Vaksinasi Padang Terap pada Selasa.
A
A

KUALA NERANG - 50 penghuni Pondok Ahmadiah di Kampung Padang Nyior dekat sini diberikan suntikan vaksin Covid-19 dos pertama melalui Unit Bergerak Vaksinasi Padang Terap pada Selasa.

Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman berkata, selain penghuni di pondok tersebut, pihaknya juga menyediakan tambahan vaksinasi kepada 30 lagi penduduk yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan.

Menurutnya, perkara itu dilakukan bagi membentuk imuniti berkelompok secepat mungkin dan percaya usaha itu mampu dilaksanakan dalam usaha memastikan daerah itu kembali menjadi zon hijau.

"Selepas semua warga emas di daerah ini dapat diberikan vaksinasi, kami akan mula fokus beri vaksin kepada golongan komuniti pula.

"Disebabkan kawasan pedalaman, ada beberapa masalah antaranya capaian internet menyebabkan penduduk sukar untuk kemas kini aplikasi MySejahtera," katanya pada sidang akhbar ketika meninjau proses vaksinasi di Pondok Ahmadiah di Kampung Padang Nyior, dekat sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, pihaknya menghadapi kekangan untuk mencapai sasaran suntikan iaitu 1,000 penerima dalam tempoh seminggu berikutan sumber vaksin yang terhad.

"Dalam tempoh seminggu ini kita hanya mampu memberikan vaksinansi kepada 300 orang sahaja," ujarnya.

Unit Bergerak Vaksinasi Padang Terap memproses data penghuni Pondok Ahmadiah di Kampung Padang Nyior, Kuala Nerang sebelum vaksin diberikan pada Selasa.
Unit Bergerak Vaksinasi Padang Terap memproses data penghuni Pondok Ahmadiah di Kampung Padang Nyior, Kuala Nerang sebelum vaksin diberikan pada Selasa.

Sementara itu, Imam Masjid Tanjung Kiri, Mohamad Sougelail Harun, 59, berkata, beliau menyambut baik kewujudan Unit Bergerak Vaksinasi Padang Terap dalam membantu komuniti penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman.

Menurutnya, banyak berita-berita negatif berkaitan vaksinasi yang mengusarkan masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar.

"Saya tahu berita-berita negatif vaksin ini hanyalah mainan pihak-pihak tertentu, jadi saya lebih percaya kepada alim ulama di Masjidil Haram dan di Malaysia pun ramai yang sudah mengambil vaksin.

"Alim ulama di sini mengalakkan kami mengambil vaksin seperti Tuan Guru Pak Teh (Datuk Ahmad Mohd Nor, 95) yang turut memberi kebenaran agar proses suntikan dibuat di pondok ini," katanya.

Seorang penghuni Pondok Ahmadiah, Wan Maharani Wan Mohamad Taib, 86, pula berkata, dia menghargai usaha yang dilakukan kerana mereka tidak perlu lagi bersusah-payah pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kuala Nerang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!