Premis hanya jual minuman keras tidak dibenar operasi

Premis yang hanya menjual produk minuman keras sepenuhnya tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh. - Gambar hiasan
Premis yang hanya menjual produk minuman keras sepenuhnya tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Premis yang hanya menjual produk minuman keras sepenuhnya tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh, tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurut beliau, ia susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengarahkan semua kilang minuman keras ditutup pada 1 Jun lalu.

"Di dalam senarai perkhidmatan perlu, telah diterangkan bahawa kedai serbaneka, pasar mini dan kedai runcit dikategorikan sebagai 'essential' dan diberikan kebenaran beroperasi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, ia bermaksud segala barangan yang dijual di kedai serbaneka boleh dijual kepada pengguna termasuk arak dan rokok.

"Seperti di kedai serbaneka, minuman keras juga turut dijual bersama-sama barang keperluan lain di bahagian jualan minuman pasar raya dan oleh itu, ia boleh dijual kepada pengguna," katanya.

Nanta berkata, isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming seperti dilaporkan portal adalah tidak tepat.

"Selain isu penjualan minuman keras, beliau mendakwa KPDNHEP mengambil tindakan berdiam diri di dalam isu pengoperasian bengkel kereta sehingga menimbulkan kekeliruan ramai," katanya.

Tambahnya, kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini telah menjelaskan bahawa perkhidmatan bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti disenaraikan sebagai aktiviti yang diberi kebenaran beroperasi dengan kapasiti pekerja dihadkan sebanyak 60 peratus sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Walau bagaimanapun, perkhidmatan cuci kenderaan tidak dibenarkan," katanya.

Justeru Nanta berkata, tidak timbul isu kementerian berdiam diri berkaitan pengoperasian bengkel kereta kerana perkara itu telah dimaklumkan.

Menurutnya, informasi berkaitan sektor yang dibenarkan juga telah dihebahkan secara meluas melalui pelbagai platform termasuk di laman web dan laman sosial KPDNHEP selain hebahan media.

"Ini adalah masa sukar yang dihadapi oleh semua dan saya amat berharap setiap daripada kita berhenti daripada mensensasikan pelbagai isu yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

"Di dalam situasi sukar ketika ini, adalah lebih penting untuk kita sama-sama bekerjasama membantu memulihkan keadaan daripada mengeruhkan lagi suasana," katanya.