Covid-19: Kerajaan Johor tidak akan buat saringan skala besar

Hasni ( kiri) dan Khairy ( kanan) pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 di Kota Iskandar.
Hasni ( kiri) dan Khairy ( kanan) pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 di Kota Iskandar.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor tidak akan melaksanakan ujian saringan Covid-19 besar- besaran sebaliknya saringan bersasar di kawasan berisiko seperti di Johor Bahru.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, sebanyak 20,000 kit ujian Antigen Rapid Test ( RTK-Ag) akan digunakan bagi tujuan saringan bersasar di Johor Bahru berikutan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan di daerah itu.

"Kit ujian RTK- Ag yang diterima daripada Singapura melalui Yayasan Sultan Ibrahim ini mampu memberi keputusan ujian Covid-19 dalam tempoh kira-kira lima minit dan ketepatan mencapai 98 peratus.

"Oleh itu kita mengharapkan kit ujian RTK- Ag ini dapat membantu mengesan lebih awal kes jangkitan Covid-19 seterusnya dapat mendatarkan lengkungan kes baharu terutama di kawasan Johor Bahru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin di Kota Iskandar.

Menurut Hasni, kerajaan negeri juga mencadangkan beberapa lokasi untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin ( PPV) swasta selain daripada Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor bagi mencapai sasaran 50,000 vaksin sehari sehingga Oktober ini.

Katanya, sebagai contoh, daerah Johor Bahru ketika ini dapat mengekalkan antara 2,900 hingga 3,000 pemberian vaksin sehari, tetapi dengan sasaran yang ditetapkan, daerah itu perlu mempunyai keupayaan tidak kurang 17,000 vaksin.

"Antara lokasi dicadangkan bagi PPV swasta melibatkan pusat membeli belah dan taman-taman tema bagi PPV pandu lalu," katanya.

Artikel Berkaitan: