98 anak Kapal KD Mahawangsa positif Covid-19

Ismail Sabri ketika sidang media selepas membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi hari ini. Foto Bernama
Ismail Sabri ketika sidang media selepas membuat lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Pertahanan mengesahkan seramai 98 kru Kapal Diraja (KD) Mahawangsa positif Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua anak kapal berkenaan menjalani ujian RTK Antigen Covid-19 sebelum menaiki kapal berkenaan dan didapati negatif.

"Selepas berada beberapa hari di dalam kapal mereka didapati positif, setakat ini semua anak kapal terlibat tidak mengalami sebarang simptom dan mereka telah diasingkan serta menjalani kuarantin.

"Insya-ALLAH selepas 10 hari mereka akan menjalani ujian PCR dan jika negatif mereka akan dibenarkan keluar," katanya pada sidang akhbar melepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Ismail Sabri berkata, pihaknya belum dapat memastikan bagaimana anak kapal KD berkenaan dijangkiti virus Covid-19.

“Seperti kita tahu, Covid-19 kini berada dalam komuniti, anak kapal ini dijangkiti Covid-19 sebelum mereka pergi belayar, mungkin ketika mereka berada di rumah atau ketika keluar membeli barang di kedai," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan dengan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 Kebangsaan untuk membenarkan Kementerian Pertahanan mendapatkan bekalan vaksin secara terus daripada Pharmaniaga Berhad yang bertanggungjawab membotolkan vaksin jenama Sinovac.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dengan kaedah itu, imuniti berkelompok bagi anggota tentera, kakitangan awam yang bekerja di Kementerian Pertahanan dan keluarga dapat dicapai dengan segera.

"Secara amnya kita mempunyai seramai 500,000 orang anggota termasuk keluarga mereka, kita sasarkan seramai 200,000 orang menerima vaksin sebulan dan mencapai imuniti dalam tempoh tiga bulan," katanya. - Bernama