'Hamper dan surat baik pulih rumah, SPR perlu ambil tindakan'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas terhadap PH kerana didakwa mengamalkan rasuah politik untuk memancing undi dalam PRK DUN Semenyih.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, pihaknya melihat hamper dan surat tawaran baik pulih rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diagihkan kepada pengundi.

"Nampaknya PH begitu angkuh dan masih tidak belajar daripada PRK Cameron Highlands. Petang ni ketika saya dan rombongan Pemuda UMNO melakukan ziarah rumah ke rumah pengundi di Pusat Daerah Mengundi Sungai Jai, kami terlihat hamper dan surat tawaran baik pulih rumah dibawah PPRT diagih kepada pengundi di sini

"Ini jelas merupakan kesalahan pilihanraya dan suatu rasuah politik yang cuba memancing undi pengundi di Semenyih," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun mengingatkan semua pihak yang terbabit dalam kempen PRK DUN Semenyih supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya.

Katanya, gesaan itu ditujukan kepada setiap calon atau parti politik yang bertanding.

Beliau berkata, setiap calon atau parti politik yang bertanding tidak melaksanakan kegiatan kempen seperti jamuan, pemberian hadiah dan barangan, penggunaan kemudahan serta aset kerajaan, program kerajaan selain kempen berunsur perkauman serta menyentuh sensitiviti agama.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi meminta SPR tidak pilih kasih dalam perkara itu kerana kemenangan BN pernah dibatalkan di Cameron Highlands atas didakwa terlibat dengan rasuah politik.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat sedang memerhatikan sejauh mana ketelusan dan keadilan badan itu yang kini Ahli SPR baharu dilantik terdiri daripada aktivis dan pendokong Bersih," katanya.