Mengaku salah peras ugut warga emas RM2

Muhamad Fikrianisfatullah (tengah) dikawal polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu menuju ke Mahkamah Majistret bagi berdepan tuduhan kedua membabitkan dakwaan curi motosikal.
Muhamad Fikrianisfatullah (tengah) dikawal polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu menuju ke Mahkamah Majistret bagi berdepan tuduhan kedua membabitkan dakwaan curi motosikal.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa terhadap pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang warga emas hingga mangsa menyerahkan wang RM2, pada April lalu.

Tertuduh, Muhamad Fikrianisfatullah Mohd Azmi, 27, didakwa melakukan pemerasan terhadap Nik Som Ismail, 63, dengan mendatangkan ketakutan bahawa dia akan dicederakan hingga menyerahkan RM2 di sebuah rumah di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh, di sini, pada jam 4.35 petang, 5 April lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau sebatan jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry.

Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin menetapkan tarikh jatuh hukum pada 6 Julai depan. Tiada jaminan diberikan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencuri sebuah motosikal milik seorang wanita di kampung Pulau Gadong, Kuala Besar, di sini pada jam 3 petang 17 April lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun serta boleh dikenakan denda jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh kali ini diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd Amin.

Artikel Berkaitan:

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menetapkan sebutan kes pada 11 Julai depan.