'Tempatkan Trak Vaksin Bergerak di pasar awam'

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lokasi penempatan Trak Vaksin Bergerak yang dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) perlu diperluaskan ke pasar awam dan pasar besar sekitar bandar raya ini.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, perluasan lokasi kemudahan itu membolehkan membantu peniaga dan pekerja pasar menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan lebih cepat.

Beliau berkata, golongan peniaga dan pekerja pasar awam sangat terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19, malah sering berurusan dengan orang ramai setiap hari.

"Saya difahamkan pasar awam besar seperti di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mempunyai sekitar 1,200 hingga 1,500 pengunjung setiap hari, malah jumlah itu mampu mencecah sehingga 3,000 orang pada hujung minggu.

"Cadangan ini akan dapat melindungi pengunjung pasar yang kebanyakan terdiri daripada warga emas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Trak Vaksin Bergerak atau 'Mobile Vaccine Truck' merupakan salah satu inisiatif KWP dengan menyasarkan sebanyak 67 lokasi yang dikenal pasti.

ARTIKEL BERKAITAN: Unit vaksinasi bergerak pastikan tiada rakyat tercicir

Usaha itu bagi mempercepatkan kadar vaksinasi di Wilayah Persekutuan dengan menumpukan kepada golongan rentan, kampung tradisi yang kurang akses kepada pengangkutan awam, Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Awam (PA) dan kawasan kos rendah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hannah berkata, usaha bagi pemberian vaksin kepada peniaga dan pekerja pasar dapat mengelakkan kluster besar selain memberikan keselesaan kepada semua pihak.

"KWP harus mengambil pengajaran daripada kes kluster pasar borong yang berlaku pada tahun lalu melibatkan peniaga, ahli keluarga, pengunjung serta orang awam yang mempunyai kontak rapat," katanya.