'Mak pesan, apa pun jadi adik-beradik jangan berpisah'

Nurallesyah (tengah) menggalas tugas membesarkan enam adik-adiknya selepas kematian ibu bapa.
Nurallesyah (tengah) menggalas tugas membesarkan enam adik-adiknya selepas kematian ibu bapa.
A
A
A

TELUK INTAN - Walaupun baru berusia 17 tahun, seorang remaja perempuan reda menggalas tanggungjawab besar menjaga enam adik beradiknya yang masih kecil selepas kematian ibu bapa mereka.

Nurallesyah Balqis Mohd Azman dari Kampung Bahagia, Teluk Intan mengambil alih tugas menguruskan pakaian dan makanan adik beradiknya selepas kematian bapa, Mohd Azman Tabri, 42, pada 2019 dan ibu, Noor Suidah Omar, 43, pada 2 Jun lalu

Nurallesyah berkata, dirinya tidak kisah malah sangat berbesar hati menjalankan tanggungjawab itu meskipun terpaksa berbahagi masa dengan pelajaran.

Baginya, paling penting, mereka tujuh beradik dapat tinggal bersama dan menjalani kehidupan seperti keluarga lain dengan menumpang kasih ibu bapa saudara.

"Sebelum mak pergi (meninggal dunia), dia selalu pesan supaya saya dapat menjaga adik-adik dengan baik, kalau boleh jangan sampai berpisah atau serah pada orang lain.

"Mak nak kami membesar sama-sama dan jalani susah senang sebagai adik-beradik, InsyaALLAH selagi saya hidup, saya akan pegang amanah mak ini sampai bila-bila," katanya.

Nurallesyah menunjukkan gambar kenangan mereka tujuh beradik bersama arwah ibu yang dirakam pada sambutan Aidilfitri, tahun lalu.
Nurallesyah menunjukkan gambar kenangan mereka tujuh beradik bersama arwah ibu yang dirakam pada sambutan Aidilfitri, tahun lalu.

Nurallesyah bersama enam adiknya, Nur Alleyana Darwina, 14; Nurallesyazwani Sofea, 12; Nurallyqalesyah Damia, 10; Nurallyfarisyah Najwa, 8; Nurallaysharifah Umairah, 6, dan Muhammad Harraz Erfan, 4, kini tinggal di rumah pusaka milik keluarga ibunya bersama-sama seorang ibu saudara mereka.

Artikel Berkaitan:

Dia mengakui, sejak kematian ibu bapa, ramai pihak menyuarakan hasrat menjadikan mereka sebagai anak angkat, namun sudah ditolak dengan baik.

Katanya, tugas menjaga dan mengurus adik-adik langsung tidak membebankan kerana masing-masing sudah pandai berdikari, hanya adik bongsu memerlukan perhatian yang lebih kerana masih kecil dan belum mengetahui keadaan sebenar kehilangan ibu bapa.

"Setiap pagi rutin saya akan pastikan adik-adik bangun, mandi dan makan. Urusan rumah seperti memasak, mengemas dan membasuh pakaian kami lakukan sama-sama.

"Bila masa belajar, kami belajar sama-sama, tidak susah sebab kami semua dah faham tanggungjawab masing-masing, lagipun sejak dahulu, arwah mak dan ayah dah didik kami supaya rajin buat kerja rumah," katanya.

Nurallesyah (tiga, kanan) mahu adik-beradiknya mengutamakan pendidikan bagi menjamin masa depan.
Nurallesyah (tiga, kanan) mahu adik-beradiknya mengutamakan pendidikan bagi menjamin masa depan.

Nurallesyah turut bersyukur kerana dikelilingi ibu bapa saudara yang prihatin dan sentiasa menghulurkan bantuan kewangan dan kasih sayang.

Menurutnya, keadaan itu sedikit sebanyak memberinya semangat dan keyakinan untuk mendepani masa depan.

"Fokus saya sekarang untuk habiskan pelajaran dahulu, jika ada rezeki, dapatlah pekerjaan yang baik supaya dapat menampung kehidupan kami kelak," katanya.

Salah seorang ibu saudara Nurallesyah, Natrah Omar, 38, berkata, keluarga itu menerima bantuan bulanan RM300 daripada Baitulmal dan memperoleh faedah pencen penakat Perkeso berjumlah RM1,180.

"Kami sebagai ibu bapa saudara sudah berjanji tidak akan memisahkan mereka dan akan menjaga amanah kakak kami ini termasuk memberikan pendidikan yang terbaik," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun BSN 0823841100036605 atas nama Nurallesyah Balqis Binti Mohd Azman atau menghubunginya Natrah di talian 016-2862960.