Pengamal media mula terima janji temu suntikan vaksin

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA- Penantian pengamal media untuk mendapatkan vaksin Covid-19 berakhir selepas ada dalam kalangan mereka sudah mula menerima janji temu pemberian dos pertama.

Kelab Media Putrajaya (KMP) dalam kenyataannya berkata, tarikh janji temu itu telah mula diperoleh pada Isnin dan dijadual menerima suntikan pada Rabu.

Katanya, penerimaan vaksin Covid-19 memberi keyakinan kepada media untuk terus menyalur berita dan kesedaran kepada masyarakat agar segera mendapatkan pelalian masing-masing.

"KMP sememangnya amat berterima kasih atas keprihatinan kerajaan mengambil maklum rintihan petugas media yang sangat memerlukan vaksin bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab kami," katanya pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Petugas media berdaftar akan terima suntikan mulai Rabu ini

Bagaimanapun KMP berharap kerajaan menyegerakan pemberian vaksin terhadap pengamal media di seluruh negara termasuk media antarabangsa yang masih belum mendapat janji temu.

"Sebagaimana KMP, Kelab Media Elit Kedah (KMEK), Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (MUTIARA) dan Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) juga sudah mengeluarkan kenyataan dan berharap kerajaan dapat menyegerakan pelalian.

"Sudah tentu hasrat sama juga dikongsi petugas media di negeri lain yang tidak diwakili mana-mana persatuan atau kelab.

Artikel Berkaitan:

"Kami percaya selepas ini lebih banyak rakan media lain akan menerima vaksin dalam masa terdekat sekali gus membina imuniti kelompok dalam kalangan petugas media itu sendiri," katanya.

Sebelum ini, KMP menggesa kerajaan menyegerakan pemberian vaksin kepada petugas media.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, lebih 5,000 petugas media menerima tarikh janji temu untuk divaksinasi mulai Jun.