Lapan individu ditahan terlibat persundalan dalam talian

Antara wanita warga asing yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pelacuran ditahan dalam dua serbuan di Kuala Lumpur pada Isnin.
Antara wanita warga asing yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pelacuran ditahan dalam dua serbuan di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lapan individu termasuk lima wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan secara dalam talian di sebuah unit apartmen di Jalan Gombak dan sebuah bilik hotel di Jalan Setapak di sini pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, pihaknya menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan, seorang wanita warga China, dua wanita Vietnam dan seorang wanita Thailand berusia antara 20 dan 46 tahun dalam serbuan pada jam jam 10.40 malam.

"Kita merampas dua komputer riba, empat komputer, 19 telefon bimbit pelbagai jenama, satu modem, satu Gpon Terminal, satu bil elektrik, satu kad akses, anak kunci dan wang tunai RM1,117. Jumlah keseluruhan barang dirampas bernilai kira-kira RM50,000," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Saiful Annuar berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mempromosikan aktiviti pelacuran dalam talian bagi pasaran tempatan dengan menggunakan aplikasi WhatsApp, Wechat dan Telegram.

"Siasatan juga mendapati premis terbabit beroperasi sebagai pusat panggilan dan sindiket berkenaan membayar sewa RM1,500 sebulan bagi setiap unit.

"Setiap pekerja menerima upah antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan dan hasil kegiatan itu disyaki meraih keuntungan bulanan kira-kira RM100,000," katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan kerana mempromosikan aktiviti persundalan secara dalam talian, Seksyen 372B Kanun Keseksaan iaitu mencari langganan bagi maksud persundalan dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengawal rumah persundalan.

"Selain itu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan tidak mempunyai pas atau permit sah untuk tinggal di Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saiful Annuar berkata, pihaknya memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terbabit dengan aktiviti pelacuran kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemilik premis, pekerja atau pelanggan dalam usaha memerangi kegiatan pelacuran di Kuala Lumpur.

Katanya,sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan jenayah, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam JSJ Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 untuk tindakan lanjut.