Op Jangkar Haram: Maritim Johor tahan dua kapal asing

Antara kapal yang ditahan dalam Op Jangkar Haram di perairan Johor Timur.
Antara kapal yang ditahan dalam Op Jangkar Haram di perairan Johor Timur.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Johor menahan sebuah kapal tangki, sebuah bot tunda serta tongkang kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur dalam Op Jangkar Haram pada Isnin.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Hong Kong itu ditahan pada kedudukan 12 batu nautika timur Tanjung Siang manakala bot tunda berdaftar dari Singapura pula ditahan di kedudukan 1.8 batu nautika timur Tanjung Ayam.

Menurutnya, kedua-dua kapal itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari semalam (Isnin) berikutan laporan pengesanan yang diterima oleh pihak Maritim, sebelum sebuah kapal dan bot ronda ke lokasi sasaran pengesanan.

"Penahanan pertama dilakukan terhadap bot tunda beserta tongkang yang dikendalikan lima kru warga Indonesia berusia antara 29 tahun dan 50 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Penahanan kedua pula dilakukan terhadap kapal tangki dikendalikan oleh 21 kru warga Indonesia yan juga mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan berusia antara 23 tahun hingga 58 tahun.

"Bagaimanapun, kedua-dua nakhoda kapal itu didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh serta pemakluman ketibaan di perairan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kata Nurul Hizam, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sehingga kini sebanyak 45 buah kapal ditahan dalam Op Jangkar Haram dan menjadikan keseluruhan kes di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 oleh Maritim Negeri Johor bagi tahun 2021 sehingga hari ini adalah sebanyak 63 kes.