Sudah tiba masanya bagi organisasi bertindak dinamik

Setiap organisasi perlu bertindak dengan penuh berhati-hati bagi menjaga kesihatan dan keselamatan tenaga kerja serta melindungi kelangsungan operasi perniagaan.Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar kecil: Puteri Fadzline
Setiap organisasi perlu bertindak dengan penuh berhati-hati bagi menjaga kesihatan dan keselamatan tenaga kerja serta melindungi kelangsungan operasi perniagaan.Gambar hiasan. - Foto 123RF Gambar kecil: Puteri Fadzline
A
A
A

SELAMA dua dekad yang lalu, para pemimpin dalam organisasi menghadapi banyak pergolakan dan cabaran dalam ketidakpastian.

Namun, pandemik Covid-19 memberi cabaran yang lebih hebat yang mana mereka terpaksa menghadapi krisis kewangan global dan perubahan teknologi yang ketara.

Tidak dapat nafikan akan muncul lebih banyak cabaran yang akan menanti pada masa depan.

Cabaran seperti ketidaksamaan pendapatan dan cuaca buruk yang disebabkan oleh perubahan iklim akan diramalkan bakal menyebabkan kekacauan kepada organisasi tempatan, malah organisasi antarabangsa.

Semua cabaran yang sedang berlaku dan akan datang ini cukup untuk memberi isyarat kepada kita perlunya persekitaran organisasi yang lebih dinamik untuk berdaya saing baik di peringkat tempatan atau antarabangsa.

Secara umumnya, kebanyakan teori dan amalan operasi organisasi hari ini dibuat untuk keadaan yang stabil dan mudah diramal. Amalan perniagaan sebegini dikatakan dapat mengoptimumkan kecekapan dan keberkesanan jangka panjang.

Namun begitu, perkembangan terkini menunjukkan bahawa banyak amalan ini tidak sesuai dengan situasi ekonomi masa kini yang kini tidak stabil dan sukar diramalkan.

Ungkapan popular – ‘norma baharu’ telah menggambarkan situasi ini dengan tepat, yang mana di era pandemik ini organisasi kini terpaksa menggunakan perspektif dan amalan organisasi baru agar maju dengan lebih dinamik.

Untuk maju dalam masa yang dinamik, perniagaan perlu mengubah pendekatan mereka sesuai dengan prosedur serta peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), agar tidak mendedahkan pekerja mereka dengan jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Malah, Menteri Kanan (Ekonomi) yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah menegaskan perbuatan syarikat melanggar prosedur ketika PKP adalah satu kesalahan jenayah bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 3) 2020.

Kegagalan mana-mana organisasi mematuhi SOP ini akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berdepan tindakan undang-undang mengikut akta semasa.

Selama berlakunya pandemik ini, beberapa organisasi hanya berpegang pada peraturan lama hingga telah merugikan mereka.

Masih ada organisasi yang terus beroperasi dengan pekerja yang bekerja di kawasan dekat tanpa halangan pelindung. Banyak pekerja datang bekerja sakit untuk mendapatkan bonus yang dijanjikan syarikat.

Akhirnya, mereka terpaksa menutup beberapa kilang berikutan wabak Covid-19 dan kemudian didenda dan dikenakan tindakan undang-undang.

Dengan demikian, semua organisasi tempatan, malah di seluruh dunia mengubah peraturan mereka untuk meningkatkan jarak sosial di barisan pengeluaran dan di ruang rehat, dengan syarat cuti sakit berbayar, dan melarang penggunaan pekerja sementara, yang semuanya membantu mereka terus beroperasi dengan selamat.

Ini jelas menunjukkan organisasi harus mengubah dasarnya demi menghadapi krisis yang masih belum nampak titik noktahnya.

Demi menghadapi krisis ini, sistem yang lebih dinamik perlu dibina dan dibudayakan di sesebuah organisasi untuk mengurangkan risiko terhadap tenaga kerja mereka dan komitmen kepada pekerja tetap menjadi keutamaan apabila kita terus beroperasi dalam keadaan yang baharu dan mampan.

Terdapat tiga langkah khusus yang harus diambil oleh organisasi untuk membantu peralihan tersebut.

Pertama adalah keperluan organisasi melengkapkan diri dengan set kemahiran baru daripada segi kebolehan sosial dan emosi, kognitif, dan digital.

Dalam Kajian Global McKinsey baru-baru ini, 69 peratus responden mengatakan bahawa membina kemahiran kakitangan yang ada lebih penting daripada kaedah lain.

Sudah tiba masanya bagi organisasi untuk menyusun strategi pengembangan bakat dan mengenal pasti pilihan yang paling berkesan, termasuklah pembelajaran digital.

Walaupun ini agak sukar bagi perusahaan kecil, sederhana dan mikro (PKS), namun begitu, adaptasi teknologi melalui rakan kongsi pintar perniagaan adalah salah satu langkah bagi PKS mempertingkat skala ekonomi mereka.

Kedua adalah inisiatif daripada pihak ahli lembaga dan pengurusan untuk mengaktifkan pengurusan krisis agar pembuatan keputusan dan tindakan adalah berkesan dan mudah diurus.

Para pengarah dan pengurus harus seterusnya membangun dengan penuh momentum dengan terus mengadakan beberapa pertemuan dari jarak jauh, walaupun ketika itu tidak lagi diperlukan untuk alasan kesihatan, terlibat dalam hubungan yang lebih formal dan tidak formal, dan juga fokus pada ketahanan korporat.

Dengan demikian, keselamatan perlu menjadi satu keutamaan untuk memastikan pekerja berasa selesa bekerja dengan penuh bersemangat.

Ketiga adalah memberi lebih empati kepada pekerja yang mempunyai beban kerja yang lebih berat jika dibandingkan dengan sebelum pandemik.

Apabila mereka bekerja dari rumah, ia menjadi sangat sukar untuk menghentikan mod bekerja semasa mereka bekerja dan tinggal di rumah yang sama.

Dengan demikian, pihak pengurusan haruslah menerapkan langkah-langkah menguruskan tekanan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja “norma baharu”.

Demi mencapai keseimbangan kerja dan kehidupan, sebaiknya adalah bagi setiap pekerja mengulangi semula rutin bekerja di pejabat.

Kesedaran perlu dipupuk di kalangan pekerja bahawa kerja dan keluarga perlu dipisahkan secara jelas dengan menentukan ruang bekerja dan jadual.

Interaksi sosial tetap penting meskipun bekerja dari rumah. Ini boleh dilakukan dengan sentiasa berhubung dengan rakan sekerja serta menjadualkan waktu untuk bersosial.

Komunikasi bersama pihak pengurusan amat kritikal jika beban kerja menjadi terlalu berat.

Oleh itu, hubungan yang baik dan profesional perlu dikekalkan antara pekerja dan pihak pengurusan untuk memotivasikan mereka menghadapi pelbagai cabaran di masa akan datang.

Dengan demikian, setiap organisasi perlu bertindak dengan penuh berhati-hati bagi menjaga kesihatan dan keselamatan tenaga kerja serta melindungi kelangsungan operasi perniagaan.

*Profesor Madya Dr. Puteri Fadzline Muhamad Tamyez merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang