STAR lancar Gapari Foodbank, bantu rakyat terjejas

Jeffrey (hadapan, dua dari kanan) melancarkan Gapari Foodbank di Pusat Khidmat DUN Tambunan.
Jeffrey (hadapan, dua dari kanan) melancarkan Gapari Foodbank di Pusat Khidmat DUN Tambunan.
A
A
A

TAMBUNAN - Prihatin dengan nasib golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengambil inisiatif melancarkan Gapari Foodbank di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan di sini.

Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, Gapari Foodbank akan menyediakan perkhidmatan dan bantuan bagi mereka yang memerlukan makanan ketika pandemik ini.

"Cadangan untuk mewujudkan 'food bank' ini dibincangkan pada Khamis lalu dan kerja pembinaan terus dimulakan dengan segera.

"Di pusat ini, kami menyediakan bekalan barang makanan seperti beras dan mi selain turut membeli hasil pertanian daripada petani yang tidak dapat menjual hasil tani mereka untuk diberikan kepada golongan memerlukan," katanya selepas melancarkan Gapari Foodbank di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan berkata, food bank itu dibuka bermula jam 9 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja.

"Bagaimanapun, jika ada yang memerlukan bantuan makanan, ia turut dibuka pada hujung minggu.

"Orang ramai juga digalak menyumbang. Tujuannya bagi memastikan tidak ada orang yang akan kelaparan dan sekiranya ada yang memerlukan, boleh datang ke sini, kami sedia membantu," katanya.

Jeffrey menunjukkan barang makanan yang disediakan di Gapari Foodbank untuk mereka yang memerlukan sepanjang PKP dilaksanakan.
Jeffrey menunjukkan barang makanan yang disediakan di Gapari Foodbank untuk mereka yang memerlukan sepanjang PKP dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, mereka yang berada jauh dari lokasi tidak perlu ke pusat khidmat ini sebaliknya hanya perlu menghubungi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing untuk mendapatkan barang makanan yang diperlukan.

"Saya tahu lokasi ini mungkin agak jauh dari kampung, namun bagi mereka yang memerlukan, tidak perlu datang ke sini jika tidak dapat melakukan perjalanan untuk mendapatkan barangan makanan.

"Mereka hanya perlu menghubungi JPKK masing-masing dengan memberikan senarai barang yang diperlukan dan jumlah isi rumah sebelum pihak kami menghantarkan barangan yang diperlukan di hadapan pintu rumah secara percuma," katanya.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah memberi jaminan bahawa food bank itu akan beroperasi sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Tiada had untuk jumlah barang keperluan yang boleh diambil untuk sepanjang tempoh ini, namun diharap mereka yang memerlukan bertanggungjawab dengan hanya mengambil barang yang diperlukan saja.

"Selepas tamat PKP, saya mahu inisiatif ini menjadi satu perkhidmatan tetap di pusat perkhidmatan kami dan ia juga boleh diubah sebagai sebuah pasar mini yang menawarkan hasil pertanian tempatan dengan harga yang berpatutan," katanya.