Polis meninggal dunia ketika bertugas

A
A

SLIM RIVER - Seorang pegawai polis meninggal dunia selepas mengadu sakit dada ketika menjalankan Operasi Pintu/Kesan di Slim River, petang tadi.

Wilson Nohek, 40, yang bertugas sebagai Inspektor di Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mualim meninggal dunia sekitar jam 5.45 petang di Hospital Slim River.

Ketua Polis Daerah Mualim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, mangsa sebelum itu rebah di sebuah klinik di Pusat Perniagaan Slim Perdana ketika mahu mendapatkan rawatan.

"Mangsa bersama anggota pada jam 5 petang telah melakukan satu operasi di sekitar kawasan Slim River, namun ketika berada di sebuah pasar raya, mangsa telah mengadu sakit dada dan memaklumkan kepada rakan setugas mahu mendapatkan rawatan di sebuah poliklinik.

"Tidak lama kemudian, pihak klinik memaklumkan mangsa rebah sebelum dibawa ke Hospital Slim River," katanya.

Beliau berkata, tiba di hospital berkenaan, mangsa kemudiannya disahkan telah meninggal dunia.

"Sebab kematian adalah berpunca daripada masalah jantung. Mendiang yang berasal dari Sarawak akan dikebumikan di Kampung Bau, Kuching," katanya.

Mendiang meninggalkan seorang isteri dan tiga anak berusia antara tiga hingga tujuh tahun.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia