Empat lelaki ditahan, dikompaun langgar SOP PKPD

No Image Caption
A
A
A

BENTONG - Empat lelaki ditahan dan dikenakan kompaun RM5,000 seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Desa Damai di sini pada Ahad.

Empat lelaki yang juga warga tempatan berusia 20 hingga 28 tahun itu ditahan ketika sedang berkumpul tanpa penjarakan fizikal di lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, sepasukan pegawai dan Unit Peronda Polis, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong ke tempat kejadian kira-kira jam 5.30 petang selepas menerima laporan orang awam.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan, empat lelaki itu juga sedang minum minuman dipercayai mengandungi alkohol dan mereka dari kawasan perumahan berlainan dalam kawasan PKPD.

"Ketika pemeriksaan, dua lelaki bertindak agresif dan melontarkan kata-kata kesat selain enggan memberi kerjasama dengan tidak mahu mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada pihak polis.

"Salah seorang suspek juga cuba mencederakan seorang pegawai kanan wanita tetapi berjaya dihalang," katanya dalam satu kenyataan media.

Zaiham berkata, ekoran kejadian itu, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas.

Katanya, mereka juga dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17(1) Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) (NO 2) 2021.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari bermula Isnin untuk siasatan lanjut.

"Tindakan tegas akan dikenakan kompromi kepada mana-mana individu yang masih tidak mematuhi SOP seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.