X

Kindly register in order to view this article
!

Pelanggan sedang membandingkan harga minyak bersaiz 5kg di sebuah kedai runcit di Shah Alam, Selangor.
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai dan peniaga mula merungut dengan kenaikan harga minyak masak botol lima kilogram (kg) sehingga 15 peratus dalam keadaan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya dan kedai runcit di beberapa buah negeri pada Isnin mendapati, harga minyak masak berbeza jenama dalam botol itu mengalami kenaikan mendadak antara RM28.50 hingga RM33 sebotol.

Seorang pekerja kedai runcit yang ingin dikenali sebagai Susi, 33, berkata, kenaikan harga minyak berlaku sejak beberapa bulan lepas.

“Kalau dulu, harga minyak botol 5kg jenama Saji ialah RM27 hingga RM28, sekarang sudah naik sampai RM32. Ada juga kedai yang naikkan harga sampai RM33 sebotol.

“Pembekal hanya maklumkan ia berpunca daripada kenaikan harga minyak mentah. Itu sahaja.

“Di sini (Selangor) harga minyak masak setiap bulan memang ada kenaikan. Pelanggan memang merungut, tapi terpaksa beli juga sebab nak dapatkan minyak paket sekarang pun susah,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada awal Januari lalu, harga minyak masak botol 5kg dilaporkan meningkat daripada RM19 hingga RM22 kepada RM27.

Harga minyak masak dilaporkan terus meningkat selepas tiga bulan kepada antara RM28 hingga RM34 sebotol.

Harga minyak masak botol 5kg naik mendadak hingga mencecah lebih RM30 sebotol.
Harga minyak masak botol 5kg naik mendadak hingga mencecah lebih RM30 sebotol.

Sementara itu, pemilik kedai runcit, Fairuz Kunhahamu, 37 berkata, kenaikan harga minyak masak tersebut adalah disebabkan tiada subsidi yang diberikan oleh kerajaan.

“Hanya minyak masak bersaiz 1kg yang diberikan subsidi. Jadi, bila tiada subsidi untuk saiz lain, syarikat akan menaikkan harga minyak kerana tiada kawalan daripada kerajaan.

“Kalau dulu ada subsidi, minyak masak 5kg dijual pada harga RM13.50, tapi sekarang dah sampai RM28 hingga RM30,” jelasnya.

Jelasnya, pelanggan kini memilih untuk mendapatkan minyak peket berbanding botol berikutan harganya yang lebih murah.

Ada juga segelintir kedai runcit menjual minyak masak itu pada harga jauh lebih mahal berbanding pasar raya.

Seorang penyelia sebuah pasar mini di Seksyen 30 di sini, Fazilah Mohd Mukhsin berkata, minyak masak dalam botol itu mengalami kenaikan sebanyak RM3 ketika sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada Februari lalu.

“Antara faktor kenaikan harga itu disebabkan kekurangan bahan mentah untuk menghasilkan produk berkenaan," katanya yang memaklumkan harga minyak masak dalam botol itu mencecah RM28 berbanding RM25 sebelum ini.

Di KUALA LUMPUR, peniaga makanan dan orang ramai turut meluahkan rasa kecewa berikutan kenaikan harga minyak masak.

Seorang peniaga makanan di Setiawangsa, Rosmalizaini Ramli, 37, berkata, kenaikan harga minyak masak botol 5kg memberi kesan kepada perniagaannya.

“Walaupun harga minyak masak meningkat, saya bersyukur kerana harga barang keperluan lain untuk berniaga tidak naik sepanjang Sekatan Pergerakan Penuh,” katanya yang lebih selesa membeli di kedai runcit.

Di KELANTAN, peningkatan mendadak harga minyak masak botol di pasaran ketika ini menyebabkan pengguna mula beralih tumpuan membeli bahan itu dalam bentuk peket bersubsidi.

Seorang pengguna, Siti Zakiah Abdullah, 42, berkata, sejak kenaikan harga berlaku, dia membuat keputusan untuk menukar penggunaan minyak masak botol kepada peket.

Bekalan minyak 1kg sentiasa kehabisan stok.
Bekalan minyak 1kg sentiasa kehabisan stok.

“Pembelian minyak masak peket dilihat berbaloi ketika ini kerana harganya sekitar RM2.50 untuk sepeket 1kg selepas diberikan subsidi oleh kerajaan,” katanya.

Katanya, sebelum itu minyak masak botol dijual antara RM25 hingga RM28.50 untuk 5kg mengikut jenama, namun harganya meningkat mendadak sejak akhir-akhir ini.

Siti Zakiah berkata, kenaikan mendadak itu sememangnya memberikan kesan yang cukup besar buat golongan berpendapatan rendah atau B40.

Tinjauan di beberapa buah pasar raya di sekitar Kota Bharu mendapati, harga minyak masak botol dijual bermula RM29 sehingga RM32.40 bagi sebotol 5kg.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Terkejut minyak masak mahal’

Harga minyak masak naik enam kali

Kerajaan digesa siasat, atasi kenaikan harga minyak masak

Minyak masak naik harga: KPDNHEP Selangor keluar 11 notis

Di PAHANG, tinjauan di beberapa pasar raya, kedai serbaneka dan kedai runcit di Kuantan mendapati minyak masak dalam botol seberat 5kg melonjak antara RM30 hingga RM36 sebotol bergantung kepada jenama.

Kenaikan harga itu dilihat begitu ketara jika dibandingkan harga sebelum ini iaitu sekitar RM25.90 sehingga RM28 sebotol.

Situasi itu menyebabkan pengguna tertanya-tanya punca kenaikan barangan tersebut.

Penjawat awam, Rohaya Yusof, 45, mengakui terkejut dengan kenaikan harga baharu itu berbanding minyak masak botol 5kg yang dibelinya pada bulan lalu.

Katanya, sebelum ini harganya sekitar RM25.90 dan paling mahal pun antara RM27 atau RM28 bergantung kepada jenama.

“Kalau ikutkan peningkatan harga minyak antara RM5 hingga RM8 sebotol dan kenaikan ini terlalu drastik dalam tempoh tidak sampai sebulan.

“Untuk keluarga besar macam saya ini hendak beli minyak peket sekilogram tidak berbaloi ditambah pula pembelian hanya dihadkan beberapa paket saja.

Pelanggan sedang membanding harga minyak bersaiz 5kg di sebuah kedai runcit di Shah Alam, Selangor.
Pelanggan sedang membanding harga minyak bersaiz 5kg di sebuah kedai runcit di Shah Alam, Selangor.

“Jadi kenaikan ini membebankan apatah lagi pendapatan terjejas berikutan keadaan ekonomi belum stabil. Adakah pihak berkuasa akan terus melihat sahaja sehingga minyak masak botol melepasi harga RM40 sebotol pula selepas ini,” katanya.

Katanya, dia beranggapan harga barangan akan turun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan namun ternyata anggapannya meleset.

Di TERENGGANU, peniaga mengakui disebabkan kenaikan harga minyak masak, mereka terpaksa menjual barangan itu melebihi RM30 sebotol.

Pekerja kedai borong dan runcit, Rahmat Salleh, 49 berkata, sebelum ini, harga barangan itu dijual antara RM27 hingga RM28 sebotol.

"Sejak dua minggu lalu, harga minyak masak yang diperoleh naik mendadak kerana tiada diskaun belian borong dan kita terpaksa menjual minyak masak botol 5kg pada harga RM31 sebotol.

"Agak sukar untuk kami jual pada harga rendah kerana diperoleh pada harga yang tinggi. Kami terpaksa naikkan harga secara berperingkat supaya tidak berlaku kenaikan mendadak," katanya kepada Sinar Harian.

Rahmat
Rahmat

Menurut Rahmat, situasi sama juga berlaku di kedai runcit dan pasar raya iaitu harga yang ditawarkan kepada pembeli bergantung kepada harga semasa barangan itu.

"Kalau nak dapatkan minyak masak botol pada harga bawah RM30 agak sukar sekarang kerana kebanyakannya menjual lebih RM30 sebotol," katanya.

Dalam pada itu, tambah Rahmat, kenaikan mendadak harga minyak masak botol menyebabkan minyak masak paket diserbu pelanggan.

"Ramai pelanggan datang untuk mendapatkan minyak masak peket sehingga stok cepat habis," katanya.

Pekerja, Mohd Haqimi Rahim, 29, menyusun stok minyak masak botol di premis perniagaan yang beroperasi di Kuala Terengganu.
Pekerja, Mohd Haqimi Rahim, 29, menyusun stok minyak masak botol di premis perniagaan yang beroperasi di Kuala Terengganu.

Di NEGERI SEMBILAN, orang ramai mengeluh apabila harga minyak masak pelbagai jenama dalam botol 5kg naik antara RM2 hingga RM5.

Menurut suri rumah, Masita Baba, 59, dia terpaksa membeli minyak masak botol 2kg kerana murah.

Katanya, sebelum ini dia membeli minyak masak botol 5kg tetapi setelah mendapati harga melebihi RM32, terus dia melupakannya.

"Sukar untuk saya jumpa minyak masak peket 1kg kerana cepat habis. Pernah juga saya membeli minyak masak botol 5kg dengan harga RM35 kerana tiada pilihan apabila minyak masak botol kecil dan peket sudah habis," katanya.

Masita berharap kerajaan dan pihak berkaitan dapat melakukan pemeriksaan lebih kerap bagi memastikan harga minyak masak tidak naik mendadak sehingga membebankan rakyat.

Di MELAKA, masih terdapat peniaga yang menjual minyak masak 5kg di bawah harga RM30 walaupun ada beberapa kedai yang menjual minyak masak melebihi harga sepatutnya.

Ada di antara kedai yang menjual minyak masak sekitar RM28 hingga RM28.80 dan ada juga menjual pada harga RM31 bergantung kepada jenama.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norene Jaafar turut menasihatkan pengguna supaya membuat aduan mengikut saluran yang betul.

Katanya, ia bagi membolehkan tindakan dapat diambil kepada pihak yang sewenang-wenangnya mengambil kesempatan menaikkan harga barangan asas seperti minyak masak ini.

Di PERAK, tinjauan di beberapa pasar raya dan pasar mini sekitar Ipoh mendapati harga minyak masak itu lebih RM30 sebotol berbanding hanya RM25 hingga RM28 sebotol sebelum ini.

Pengguna, Abd Razak Mohd Ali mengakui terkejut dengan kenaikan sebanyak RM10 dalam tempoh setahun

Katanya, pada pertengahan tahun lepas, harga minyak masak botol 5kg hanya sekitar RM20 hingga RM23.

"Saya terkejut kerana sehari dua lalu harganya mencecah sehingga lebih RM32, naik kira-kira RM10 dalam tempoh setahun. Ini membebankan pengguna termasuk peniaga kecil," katanya.

Abd Razak turut mencadangkan kepada agensi terlibat melakukan pemantauan dan penambahan kuota minyak masak bersubsidi (paket) setiap bulan.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, tiada aduan yang diterima berkaitan harga minyak masak sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

"KPDNHEP melakukan pemeriksaan harian ke atas premis termasuk runcit dalam memastikan bekalan minyak masak tidak terputus.

"Peniaga juga telah diarah mengehadkan pembelian bilangan minyak masak paket terhad kepada tiga paket bagi setiap pelanggan," katanya.

Saifullizan (dua dari kanan) mengiringi Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam memeriksa minyak masak di sebuah pasar raya di Ipoh.
Saifullizan (dua dari kanan) mengiringi Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam memeriksa minyak masak di sebuah pasar raya di Ipoh.

Di KEDAH, harga minyak masak dilaporkan naik mendadak terutama bagi saiz 5kg yang mencecah RM33.20 sebotol.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai dan pasar raya sekitar kawasan Kepala Batas mendapati minyak masak botol 5kg dijual bermula pada harga RM28.90 dan RM19.75 untuk botol 3kg manakala bagi pek botol 2kg dijual antara RM13.15 hingga RM14.45.

Selain itu, bagi botol 1kg dijual di antara RM6.70 hingga RM8.20 mengikut jenama dan paling murah minyak masak peket yang dijual RM2.50, namun setiap pelanggan dihadkan membeli tiga peket sahaja.

Pekerja swasta, Emylia Shafina Zainol, 31, berkata, kenaikan harga barang tidak sepatutnya berlaku ketika rakyat berdepan dengan cabaran hidup akibat pandemik Covid-19.

"Keperluan asas tidak sepatutnya berlaku kenaikan harga kerana ketika ini ramai yang terjejas pendapatan disebabkan PKP. Ia seolah-olah ada pihak yang mengambil kesempatan ketika orang ramai ditimpa kesusahan," katanya.

Minyak masak jenis botol 1kg habis dijual ketika tinjauan Sinar Harian di sebuah pasar raya di Kepala Batas.
Minyak masak jenis botol 1kg habis dijual ketika tinjauan Sinar Harian di sebuah pasar raya di Kepala Batas.

Seorang lagi pengguna, Mohamed Hasrul Sulaiman, 40, berkata, kerajaan melalui agensi penguatkuasanya perlu memantau isu ini kerana ia berkaitan barangan keperluan harian dan digunakan oleh semua isi rumah.

"Disebabkan harga minyak masak mahal saya memilih untuk membeli dalam peket sahaja namun ia terhad kepada tiga pek untuk satu pelanggan.

"Saya berharap pihak yang berkaitan segera menangani isu kenaikan harga ini kerana rakyat semakin ramai yang susah dan hilang pendapatan disebabkan Covid-19," katanya.

INFO

Januari 2021 Jun 2021

5kg RM27 - RM28 RM30 - RM33

3kg RM14 - RM15 RM17 - RM18

2kg RM12 - RM14 RM15 - RM16


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!