Edisi khas bahasa Melayu simbolik 45 tahun Malaysia-China

Jun (dua, kanan) memberikan penerangan mengenai penerbitan edisi khas China Report Asean dalam bahasa Melayu kepada delegasi media.
A
A

BEIJING - Edisi kelima jurnal, China Report Asean terbitan China Report Press akan diterbitkan dalam bahasa Melayu sempena 45 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.

Ketua Pengarangnya, Zhao Jun berkata, edisi khas keluaran Mei 2019 itu kini di peringkat perancangan pengisian.

Menurutnya, jurnal berbahasa Inggeris itu akan diterbitkan dalam bahasa negara Asean lain bagi peristiwa-peristiwa penting.

"Kali ini kami akan terbitkan dalam bahasa Melayu dan kini sedang merancang pengisian bersesuaian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan delegasi media dari Malaysia dan Indonesia ke Beijing serta Xinjiang, ASEAN Elite China Tour 2019, anjuran kedutaan negara itu, di sini.

Jun berkata, pihaknya terbuka menerima sebarang pandangan dan idea serta mengalu-alukan penglibatan media dari Malaysia.

Mengulas lanjut mengenainya, beliau berkata, pertemuan dan perbincangan turut diadakan bersama pihak berkaitan dari Malaysia bagi menjayakan usaha itu.

Katanya, selain bahasa Inggeris dan Cina, China Report Asean pernah diterbitkan dalam bahasa Myanmar, Thailand serta Cambodia.