X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 02 Disember 2021

Penduduk Palestin guna media sosial selamatkan Sheikh Jarrah

Gambar fail menunjukkan sejumlah penduduk menyertai tunjuk perasaan bagi membantah tindaan Israel mengusir keluarga-keluarga Palestin di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur. - Foto AFP
A
A

SEJAK berdekad lamanya, Sheikh Jarrah hanya merupakan sebuah kawasan penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur yang dijajah oleh Israel.

Namun, kisahnya telah menjadi tular menerusi online sejak satu siri tunjuk perasaan diadakan bagi membantah rancangan pengusiran oleh rejim Zionis pada bulan lalu terhadap penduduk Palestin.

Seorang aktivis penduduk, Muhammad el Kurd berkata seperti dilaporkan AFP: "Kami perlu berjuang bukan hanya untuk mempertahankan kawasan penempatan penduduk di Baitulmaqdis tetapi juga hak-hak penduduk Palestin, hak mereka untuk menentang penjajah dan kisah mereka sendiri."

Pemuda berusia 23 tahun itu ialah seorang penulis dan penyajak.

Dia salah seorang daripada sejumlah penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal kerana dirampas oleh rejim Zionis.

Muhammad juga bekerja tanpa mengira lelah untuk menyuarakan isu-isu penduduk Palestin dan ia telah mendapat lebih 18,000 pengikut di Twitter dan lebih sejuta pengikut di Instagram.

"Bermula daripada permulaan kempen, pendedahan kami amatlah jelas. Kami bercakap tentang penjajahan dan penempatan bukan sahaja tentang penyalahgunaan hak-hak asasi manusia," katanya kepada AFP.

Muhammad bercakap kepada AFP sebelum ditangkap oleh rejim Zionis pada Ahad lalu bersama kembarnya iaitu Mona el-Kurd selama beberapa jam sebelum dibebaskan dan kembali menyertai tunjuk perasaan bagi membantah pengusiran penduduk Palestin di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur.

Menurut laporan media, Muhammad dan kembarnya ditangkap kerana terlibat dalam rusuhan-rusuhan yang menentang pengusiran keluarga Palestin dari Sheikh Jarrah dan insiden lain di Baitulmqdis Timur.

Dua pasangan kembar, Mona el Kurd (kiri) dan Muhammad el Kurd turut menggunakan laman media sosial untuk memperjuangkan isu penduduk Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur. - Foto AFP
Dua pasangan kembar, Mona el Kurd (kiri) dan Muhammad el Kurd turut menggunakan laman media sosial untuk memperjuangkan isu penduduk Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur. - Foto AFP

Muhmmad dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak 5,000 shekel (RM6,350) dengan syarat dia perlu berjumpa dengan pihak berkuasa jika dipanggil untuk berbuat demikian.

Kembarnya pula, Mona dibebaskan tanpa sebarang syarat dan tidak diikat jamin.

Protes yang menentang pengusiran penduduk Palestin bermula pada bulan lalu di pekarangan Masjid al-Aqsa sekali gus menyebabkan tindakan keras dilakukan oleh pasukan keselamatan rejim Zionis untuk menyuraikan para penunjuk perasaan.

Ia juga menyebabkan pertempuran selama 11 hari berlaku antara tentera udara Israel dengan para pejuang Hamas dan Jihad Islam di Gaza sehingga mengakibatkan lebih 200 penduduk di Gaza terkorban manakala lebih 1,900 orang lagi cedera.

Serangan itu yang kemudian berakhir dengan satu gencatan senjata pada bulan Mei turut mendapat sokongan daripada banyak negara di dunia manakala tanda pagar #SheikhJarrah dan #SaveSheikhJarrah menjadi tular di media sosial.

Beberapa selebriti termasuk aktres berkulit hitam Amerika Syarikat (AS), Viola Davis sehingga kepada kapten pasukan bola sepak Algeria dan bintang bola sepak kelab Manchester City, Riyad Mahrez turut menyiarkan sokongan mereka ke atas penduduk Palestin menerusi media sosial.

Israel menjajah Baitulmaqdis Timur pada tahun 1967 melalui Perang Enam Hari apabila berperang dengan beberapa negara Arab.

Berdasarkan undang-undang rejim Zionis, penduduk Yahudi boleh menuntut tanah yang didakwa sebagai milik mereka sebelum penubuhan negara haram Israel walaupun penduduk Palestin sudah menetap sekian lama iaitu sejak beberapa dekad lalu.

Muhammad menyatakan situasi di Sheikh Jarrah merupakan satu contoh kecil penjajahan peneroka-peneroka Yahudi di Baitulmaqdis dan Palestin.

"Setiap orang boleh melihat bahawa kami menentang sistem undang-undang yang rasis yang ditulis untuk melindungi serta menyokong para peneroka (Yahudi)," katanya.

Sebuah kumpulan hak asasi Yahudi, Ir Amin pernah menyatakan bahawa sehingga 1,000 penduduk Palestin di Sheikh Jarrah dan kawasan berdekatannya, Silwan berdepan dengan pengusiran.

Muhammad yang fasih berbahasa Inggeris itu belajar di peringkat sarjana di AS bercakap kepada AFP di luar rumahnya.

Menurutnya, akaun media sosialnya menerima banyak amaran termasuk akan dipadamkan tetapi Muhammad mengakui kesan daripada kempen selamatkan Sheikh Jarrah itu mendapat impak yang luar biasa dari kebanyakan negara di dunia.

Ekoran ketegangan di Baitumaqdis itu, Mahkamah Agung Israel menggantung pendengaran rayuan pengusiran penduduk Palestin di Sheikh Jarrah sehingga satu notis dikeluarkan pihaknya. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!