Antara kompetensi, imbuhan politik

Bukan semua orang politik boleh menjadi pengerusi syarikat yang efektif. - Foto 123RF
Bukan semua orang politik boleh menjadi pengerusi syarikat yang efektif. - Foto 123RF
A
A
A

MENGIKUT jangka hayat sesi Parlimen sekarang, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan selewat-lewatnya Julai 2023.

Namun semasa darurat diisytiharkan berkuat kuasa dari 12 Januari sehingga 1 Ogos 2021, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa PRU15 akan diadakan sebaik sahaja pandemik Covid-19 menjadi lebih terkawal dan keadaan adalah selamat untuk pilihan raya dijalankan.

Mengikut sistem pilihan raya di Malaysia, pengundi akan memilih calon dan bukannya parti walaupun calon-calon yang bertanding adalah ditentukan oleh parti masing-masing, kecuali calon-calon yang tidak mewakili mana-mana parti politik.

Parti politik atau gabungan parti yang mendapat jumlah kerusi terbanyak di Dewan Rakyat akan membentuk kerajaan dan pemimpin parti tersebut akan dilantik menjadi perdana menteri.

Berkempen untuk memenangi hati dan perasaan pengundi bukanlah perkara mudah dan memerlukan sumber kewangan besar dan tenaga yang sepenuhnya.

Melainkan sesuatu parti politik itu mendapat majoriti yang besar, ketua parti tersebut akan bergantung kepada ahli-ahli dewan bagi memastikan beliau mendapat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

Ketika ini, Malaysia mempunyai jumlah ahli kabinet dan timbalan yang paling tinggi dalam sejarah iaitu 72 orang.

Orang berbudi kita berbahasa. Sudah menjadi budaya di Malaysia bahawa bagi ahli-ahli Parlimen yang tidak terpilih untuk menjadi menteri atau timbalan, mereka juga harus diberikan kedudukan di dalam badan-badan berkaitan kerajaan seperti pengerusi atau ahli di badan-badan berkanun, pengerusi atau ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan (GLC), penasihat atau duta bertaraf menteri dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Lantikan politik ini lebih bersifat membalas budi kepada ahli-ahli politik yang memberi sokongan kepada perdana menteri dan kerajaan.

Isu yang timbul berkaitan dengan pelantikan ahli-ahli politik ini adalah kriteria yang digunakan seolah-olah lebih kepada sokongan politik kepada parti memerintah daripada kebolehan atau kompetensi seorang itu menjawat jawatan yang diberikan.

Sesetengah syarikat milik kerajaan memerlukan pengerusi (walaupun bukan eksekutif) dan ahli lembaga pengarah yang mempunyai kompetensi dan kredibiliti yang tinggi untuk menerajui syarikat-syarikat tersebut.

Agak malang bila terdapat orang politik yang dilantik sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah GLC gagal untuk menjalankan tugas mereka seperti mana diharapkan.

Tindakan kerajaan memberhentikan perkhidmatan seorang pengerusi GLC secara serta-merta baru-baru ini, harus dijadikan peringatan kepada ahli politik lain bahawa sekiranya mereka dilantik untuk memegang sesuatu jawatan, ia bukanlah suatu hadiah politik yang boleh diambil ringan tetapi sebaliknya, jawatan tersebut adalah suatu tanggungjawab yang harus dipikul di samping tugas mereka di arena politik.

Nilai integriti harus dipegang teguh oleh ahli politik yang mengaku diri mereka sebagai pemimpin masyarakat. Tingkah laku mereka menjadi gambaran terhadap kerajaan dan kegagalan mereka dalam menguruskan organisasi masing-masing akan memberi kesan negatif kepada kerajaan dan parti memerintah.

Bukan semua orang politik boleh menjadi pengerusi syarikat yang efektif kerana pengurusan syarikat bukannya seperti mengurus cawangan atau bahagian parti politik, lebih-lebih lagi GLC di mana kepentingan negara harus diutamakan.

Banyak yang telah diperkatakan mengenai perkara ini, namun lantikan politik masih berterusan. Kerajaan harus memandang serius mengenai perkara ini kerana GLC adalah syarikat milik negara yang harus ditadbir dengan integriti dan governans yang tinggi bagi memastikan kepentingan negara tidak diganggu-gugat.

Ahli-ahli politik pula harus menetapkan sama ada mereka ingin terus berpolitik atau ingin menjalankan perniagaan. Politik dan perniagaan terutama GLC tidak harus disatukan.

*Amerul Muner Mohammad ialah mantan CEO Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya