X

Kindly register in order to view this article
!

Umat Islam disaran seimbangkan pemberian infaq

(Dari kiri) Fazrul dan Ahmad Sufian pada Wacana al-Quran Edisi Khas Al-Quds: Formula kejayaan 7 surah Musabbihat bertajuk 'Minda Infak Al-Quds' yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.
A
A
SHAH ALAM - Umat Islam disaran menyeimbangkan pemberian sumbangan atau infaq kepada saudara seagama sama ada di negara ini atau di Palestin.

Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Pengurusan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Ahmad Sufian Che Abdullah berkata, dalam konteks infak sememangnya lebih afdal umat Islam memberikan sumbangan kepada yang lebih dekat dengan mereka.

Bagaimanapun, Ahmad Sufian berkata, ia tidak bermaksud bahawa hak rakyat Palestin dinafikan daripada menerima sumbangan.

“Jadi secara umumnya memang kita disunatkan untuk memberi kepada orang yang lebih dekat seperti adik-beradik, ibu bapa, jiran dan lain-lain.

“Tetapi ia tidak menafikan untuk kita membantu mereka (Palestin). Mereka adik kita, saudara kita juga. Sebenarnya mereka itu mewakili umat Islam seluruh dunia, berjuang membebaskan Palestin,” katanya pada Wacana Al-Quran Edisi Khas Al-Quds: Minda Infak Al-Quds yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Isnin.

Program itu dimoderatorkan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan Qari My #QuranTime, Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah Al-Hadid’ 57 ayat 10 hingga 11.

Ahmad Sufian berkata, ALLAH SWT telah mengisyaratkan bahawa proses infaq itu penting kerana perkataan infaq itu disebut dahulu berbanding perang.

“Disitu ALLAH SWT mendahulukan perkataan infaq berbanding berperang. Itu mengisyaratkan kena melalui proses infaq dahulu sebelum berperang, kena kumpulkan harta.

“Walaupun kita merasakan tempat kita pun perlu (sumbangan). Tetapi jiwa jihad dan kebersamaan kita dengan masyarakat Palestin itu mesti ada,” ujarnya.

Jelasnya, apabila menjiwai jihad rakyat Palestin melawan Musyrikin Israel maka seolah-olah umat Islam di negara ini turut berjuang di jalan ALLAH SWT.

“Kita bukan memberi sumbangan untuk mereka (rakyat Palestin) membeli senjata tetapi menyumbang menyokong pembinaan semula hospital dan bangunan yang telah dirobohkan.

“Bekalkan mereka dengan makanan, ubat-ubatan dan makanan asasinya,” jelasnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!