70 saman, 3 kompaun terhadap pemandu kereta sapu

Sebanyak 70 saman dan tiga kompaun dikeluarkan terhadap pemandu kereta sapu dalam Operasi Kereta Sapu dilaksanakan sekitar Lahad Datu sejak 2 Jun lalu.
Sebanyak 70 saman dan tiga kompaun dikeluarkan terhadap pemandu kereta sapu dalam Operasi Kereta Sapu dilaksanakan sekitar Lahad Datu sejak 2 Jun lalu.
A
A
A

LAHAD DATU - Sebanyak 70 saman dan tiga kompaun dikeluarkan terhadap pemandu kereta sapu dalam Operasi Kereta Sapu dilaksanakan sekitar Lahad Datu sejak 2 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata, tindakan itu dikenakan selepas didapati pemandu kereta sapu tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh yang sedang dilaksanakan.

Katanya, operasi itu membabitkan pasukan dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Lahad Datu bersama bahagian lain dengan menyasarkan pemandu kereta sapu yang didapati melanggar SOP dan kesalahan trafik lain di daerah itu.

"Operasi ini tertumpu di tiga lokasi yang dikenal pasti dijadikan sebagai tempat utama bagi pemandu kereta sapu beroperasi iaitu di sekitar Jalan Mawar, Jalan Kastam Lama dan Jalan Pantai Dalam.

"Sepanjang operasi dilaksanakan, sebanyak 70 saman dikeluarkan terhadap pemandu kereta sapu dan tiga kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan No 2) 2021," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Rohan berkata, antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak memakai pelitup muka dan dua individu bukan dari isi rumah yang sama menaiki kenderaan bersama.

"Dalam operasi ini juga, satu tangkapan dibuat membabitkan warga asing yang didapati melanggar perintah Sekatan Pergerakan Penuh.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan No 2) 2021," katanya.

Artikel Berkaitan: