Hamas beri amaran keras

Penduduk Palestin berhimpun di Gerbang Damsyik pada akhir April lalu sebelum pertempuran ganas tercetus di pekarangan al-Aqsa pada akhir Ramadan. - Foto: Agensi
Penduduk Palestin berhimpun di Gerbang Damsyik pada akhir April lalu sebelum pertempuran ganas tercetus di pekarangan al-Aqsa pada akhir Ramadan. - Foto: Agensi
A
A
A

BAITULMAQDIS - Kumpulan pelampau Yahudi pada Isnin membatalkan perarakan kontroversi, Flag March di Baitulmaqdis yang dijadualkan pada minggu ini selepas Hamas memberi amaran ia bakal menyemarakkan semula konflik berlarutan selama 13 hari yang telah reda pada bulan lalu.

Pembatalan itu dibuat selepas pemimpin kanan Hamas, Khalil Hayya mengeluarkan kenyataan tegas perarakan yang disifatkan sebagai tindakan provokatif melampau itu boleh mencetuskan ketegangan baharu.

“Kami memberi amaran keras kepada pelampau Yahudi supaya tidak cuba mencemari pekarangan Masjid al-Aqsa. Kami harap mesej ini jelas supaya perarakan yang dirancang pada Khamis ini tidak mencetuskan semula konflik Israel-Palestin pada 10 Mei lalu,” ujar Hayya.

Bagaimanapun, jurucakap penganjur acara itu berkata, keputusan itu dibuat selepas gagal mendapatkan permit kebenaran daripada pihak berkuasa rejim Zionis.

Sementara itu, polis Israel dalam satu kenyataan berkata, kelulusan tidak dapat diberikan selepas menilai situasi semasa.

Sebelum ini, penganjur demonstrasi berhaluan kanan menyifatkan perarakan itu kononnya sebagai acara untuk menzahirkan kebebasan bersuara, namun kebanyakan pengkritik bimbang ia akan memburukkan lagi konflik Israel-Palestin.

Pada Sabtu lalu, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz juga dilaporkan mengarahkan pihak berkuasa melarang acara seumpama itu.

Difahamkan, perarakan di sepanjang kota lama Baitulmaqdis itu dirancang melalui Gerbang Damsyik yang menyaksikan insiden pertempuran ganas tercetus antara penduduk Palestin dan pihak berkuasa rejim Zionis yang kemudiannya membawa kepada kempen pengeboman ganas dilancarkan tentera Israel ke atas Genting Gaza yang meragut 260 nyawa pada bulan lalu. - AFP

Artikel Berkaitan: