X

Kindly register in order to view this article
!

Jamin tiada penduduk terputus bekalan makanan

Saarani meninjau pelaksanaan PKPD yang dikuatkuasakan di tiga lokaliti DUN Manjoi iaitu Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah pada Isnin.
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad memberi jaminan tidak akan ada penduduk terputus bekalan makanan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, di sini sejak Ahad.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang berusaha keras menyediakan bentuk bantuan untuk disalurkan kepada penduduk terlibat termasuk barangan keperluan harian.

"Saya sudah minta supaya jangan biar ada berlaku (keadaan) penduduk yang terputus bekalan makanan.

"(Untuk itu) saya dan rakan-rakan pentadbiran kerajaan negeri akan selalu berikhtiar untuk membantu.

"Barisan petugas hadapan serta pegawai dan kakitangan pejabat daerah juga bertugas siang dan malam untuk membantu sedaya upaya," katanya seperti dikongsi dalam Facebook rasminya di sini pada Isnin.

Beliau sebelum itu mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian dan mendengar taklimat seterusnya meninjau kerja-kerja menyalurkan bantuan kepada penduduk terlibat.

Menurutnya, PKPD yang dikuatkuasakan di tiga lokaliti itu iaitu Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah bukan sahaja memberi kesan kepada penduduk, tetapi peniaga-peniaga kecil yang berada di kawasan berhampiran.

"Ramai yang terkesan, ramai terjejas. Bukan sahaja penduduk di kawasan terbabit, peniaga kecil berada di berhampiran lokasi PKPD juga merintih.

"Jadi saya mohon agar semua keluarga yang terlibat supaya bersabar mengharungi situasi sukar ini. Saya tahu ia tidak mudah," katanya.

PKPD di tiga lokaliti berkenaan berkuat kuasa selama 14 hari bermula 6 Jun sehingga 19 Jun ini membabitkan 4,000 rumah dan hampir 16,000 penduduk bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan awal kes serta mengurangkan pergerakan penduduk ke luar dari lokaliti.

Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kinta dalam satu notis memaklumkan pihaknya bersetuju agar pasar raga Mydin Manjoi dan kedai runcit dalam kawasan PKPD itu dibuka, terhad kepada seksyen makanan, minuman dan keperluan asas.

Kebenaran itu hanya untuk tempoh ditetapkan sahaja iaitu pada Isnin (hari ini) dari jam 2 petang hingga 5 petang dan Selasa (esok) bermula 8 pagi hingga 5 petang dengan satu orang wakil bagi setiap isi rumah.

Notis sama yang dikeluarkan pada Isnin itu turut memberitahu bahawa kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kinta mula mengedarkan kotak makanan kepada penduduk mengikut kategori keutamaan iaitu golongan B40 dan individu yang dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Pada Ahad, tular di media sosial rungutan dan rintihan penduduk yang tidak sempat menyediakan bekalan makanan selain mengalami kehabisan barangan keperluan asas berikutan pelaksanaan PKPD yang disifatkan secara mengejut.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!