Angkara khianat: Pokok berembang ditebang

Shukor (dua, kiri) bersama sebahagian wakil nelayan komuniti Kampung Dew menunjukkan laporan polis dibuat ke atas aktiviti menebang pokok berembang atas tujuan khianat pada Ahad lalu.
A
A

BUKIT GANTANG - Tidak tahan episod pencerobohan berterusan zon habitat kelip-kelip di persisiran Sungai Sepetang, Kampung Dew, di sini, Persatuan Pengusaha Jeti Kelip-Kelip Kampung Dew membuat laporan polis terhadap kejadian pencerobohan terbaharu kawasan itu pada Ahad lalu.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Simpang, di sini susulan tujuh pokok berembang berusia 25 hingga 35 tahun yang menjadi 'rumah' kepada hidupan kelip-kelip di Hutan Simpan Kelip-Kelip di sini, dipercayai ditebang pihak tidak bertanggungjawab pada Sabtu lalu.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Jeti Kelip-kelip Kampung Dew, Shukor Ishak berkata, kegiatan menebang tujuh pokok berembang di tebing sungai persempadanan antara daerah Kerian dan Larut Matang, disedari nelayan tempatan pada jam 3 hingga 5 petang Ahad lalu.

Menurutnya, sewaktu penemuan itu berlaku, nelayan terbabit sedang menjalani aktiviti menangkap ikan dan udang di kawasan berjarak satu kilometer daripada Jeti Kelip-kelip Kampung Dew.

"Nelayan terbabit terkejut apabila mendapati tujuh pokok berembang ditebang dengan menggunakan mesin gergaji secara rawak, dipercayai perbuatan khianat untuk memprovokasi usaha penduduk di sini memelihara pokok habitat kelip-kelip itu.

"Laporan polis dibuat bagi meminta perhatian semua pihak berkuasa terlibat termasuk polis untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang dipercayai melakukan khianat itu," katanya kepada media di sini semalam.

Seorang nelayan menunjukkan keadaan salah satu pokok berembang ditebang dipercayai atas tujuan khianat.
Seorang nelayan menunjukkan keadaan salah satu pokok berembang ditebang dipercayai atas tujuan khianat.

Shukor berkata, pihaknya kesal kejadian sebegini berlaku, terutama di lokasi tempat peninjauan habitat kelip-kelip paling menarik kerana tindakan itu pastinya menjejaskan usaha pemuliharaan zon habitat asal kelip-kelip di Kampung Dew.

Sebagai tindakan susulan, beliau menegaskan pihaknya melaporkan kes itu kepada Jabatan Perhutanan Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) serta negeri untuk turun padang meninjau sendiri keadaan pokok berembang ditebang.

"Sejak tahun 2013, kami menganggarkan hampir 90 pokok berembang ditebang pihak tidak bertanggungjawab atas pelbagai tujuan dan aktiviti ini diyakini tidak akan berhenti dengan begitu sahaja.

"Kami memerlukan tindakan sewajarnya yang tegas terhadap pihak menebang 'rumah' kelip-kelip terbabit supaya perkara ini tidak berulang dan habitat kelip-kelip terus dipelihara.

"Isu ini penting bagi memastikan mereka memahami kawasan pewartaan hutan simpan kelip-kelip Kampung Dew tidak boleh diterokai sesuka hati dan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada agensi kerajaan bertanggungjawab," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shukor turut menggesa kerajaan negeri lebih serius menyegerakan urusan pewartaan kawasan kelip-kelip Kampung Dew sebagai zon habitat kelip-kelip di bawah Hutan Simpan Kekal (HSK).

Menurutnya, pihaknya dijanjikan urusan pewartaan itu akan disiapkan kerajaan negeri pada bulan Disember tahun lalu, namun sehingga kini maklum balas diterima mengatakan 'sedang diproses'.

"Isu ini pernah dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara pada 19 November 2014, di mana dalam ketetapan dibuat adalah mana-mana kawasan dalam tanah kerajaan dilitupi hutan paya laut hendaklah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal.

"Ketetapan di peringkat pusat sudah jelas, cuma ketetapan di peringkat negeri dan daerah perlu juga selari.

"Perkara ini penting untuk menjaga kawasan persisiran pantai negara di samping memastikan sumber hasil laut terkawal dan dilindungi," katanya.