X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Legenda sepak takraw negara, Pak Sahak sudah tiada

Sahak Md Yasin meninggal dunia selepas lebih sebulan bertarung nyawa akibat Covid-19.
A
A

ARENA sukan sepak takraw negara kehilangan seorang legenda, Sahak Md Yasin yang meninggal dunia di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur selepas lebih sebulan bertarung nyawa akibat Covid-19.

Bekas apit kanan itu yang memperkenalkan teknik hadangan kaki (blocking) pada zaman kemuncaknya menghembuskan nafas terakhir pada usia 73 tahun kira-kira jam 3.30 petang Isnin.

Pada 26 April lalu, Allahyarham yang lebih mesra disapa Pak Sahak dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bersama isterinya, Rokiah Basir sebelum disahkan positif pandemik dua hari kemudian.

Rokiah, 67, kini sudah pulih dan dibenarkan keluar daripada hospital pada 12 Mei lalu.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, empat anak, 14 cucu dan lima cicit dipindahkan ke Hospital UiTM, Puncak Alam pada 31 Mei lalu, namun ketika itu masih menerima bantuan mesin oksigen.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Kampung Nuri, Johol, Negeri Sembilan dan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan kampung berkenaan pada jam 10 malam ini.

Untuk rekod, Allahyarham yang dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Diraja Seri Menanti pada 2018 memenangi tiga pingat emas Sukan SEAP/SEA Singapura 1973, Bangkok 1975 dan Kuala Lumpur 1977.

Bekas anggota Kor Risik Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kelahiran Kampung Nuri, Johol itu turut beberapa kali menjuarai Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari bersama ATM sepanjang kariernya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!