Polis siasat hantaran tular libat kompaun kerana berjoging

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

AMPANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat hantaran di laman sosial yang tular berhubung lapan individu dikompaun kerana berjoging di luar kawasan kejiranan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hantaran tersebut membabitkan seorang lelaki memuat naik status berunsur fitnah dan jelik kepada pegawai yang mengeluarkan kompaun itu di laman Facebook.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat pegawai berkenaan yang menyedari kes tular terbabit kerana ia boleh mengundang persepsi negatif orang ramai kepadanya.

"Pegawai itu mendakwa komen berkenaan adalah tidak benar dan bersifat tidak sopan dan jelik," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu mengeluarkan apa-apa perkataan yang bersifat jelik dalam media sosial.

Dalam kejadian itu, seramai lapan individu dikompaun kerana berjoging di luar kawasan kejiranan serta tidak mengikut alamat tempat tinggal di Taman Tun Abdul Razak di sini, pada Ahad

Mohamad Farouk berkata, pihaknya yang menjalankan pemantauan Ops Covid-19 Sekatan Pergerakan Penuh di kawasan itu mendapati seramai 30 individu sedang berjoging pada jam 5.45 petang.

Berdasarkan hasil pemeriksaan, katanya, lapan individu termasuk seorang wanita dikompaun di bawah Peraturan 17 PU (A) 243/2021 Peraturan-peraturan Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) kerana berjoging di luar kawasan kejiranan serta tidak mengikut alamat tempat tinggal.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam menjalankan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) PKP berkaitan aktiviti joging, pegawai penguat kuasa yang dilantik boleh memeriksa kad pengenalan untuk mengesahkan samada seseorang itu tinggal di kawasan kejiranan tersebut atau tidak.

"Jika alamat kediaman berada adalah di luar kawasan kejiranan atau perumahan tersebut, maka satu perlanggaran atau ketidakpatuhan SOP berlaku dan tindakan undang-undang boleh diambil," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Farouk memaklumkan, pihaknya mengeluarkan 209 kompaun dan tiga tangkapan sejak 12 Mei hingga Isnin.

Menurutnya, antara kesalahan kompaun adalah tidak memakai penutup muka, beroperasi lebih masa, tidak amalkan penjarakan sosial, joging luar kawasan kejiranan dan lain-lain kesalahan ditetapkan dalam pematuhan SOP.