Ikan yu dijual bukan jenis spesies terancam

Tular di media sosial berhubung penjualan ikan yu di sebuah pasar raya di Kelombong, Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Tular di media sosial berhubung penjualan ikan yu di sebuah pasar raya di Kelombong, Kota Kinabalu, baru-baru ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah mengesahkan bahawa ikan yu yang dijual di sebuah pasar raya di Kolombong, di sini bukan daripada spesies terancam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, berdasarkan gambar yang tular di media sosial itu didapati jenis ikan terbabit ialah yu sirip hitam spesies Carcharhinus sorrah dan yu muncung panjang spesies C brevipinna.

"Ini adalah jenis yu hasil tangkapan nelayan di Sabah. Kedua-dua spesies ini tidak disenaraikan sebagai spesies yu terancam sama ada di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317) atau Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

"Ini bermakna aktiviti seperti menangkap dan menjual spesies berkenaan tidak menyalahi undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, terdapat lebih daripada 150 spesies ikan yu dan pari di Malaysia tetapi hanya 12 spesies disenaraikan di bawah Akta 317 manakala 64 yang lain tersenarai di bawah Akta 686.

"Antara spesies ikan yu yang disenaraikan di bawah kedua-dua akta berkenaan termasuk yu paus dan yu tanduk (hammerhead shark) manakala bagi pari pula seperti yu gergaji (sawfish) dan pari manta," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, dari segi kawalan perdagangan antarabangsa, Sabah tidak membenarkan eksport walaupun ke Semenanjung, Sarawak atau Labuan.

"Sebarang kesalahan di bawah akta ini boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan Perikanan Sabah melalui unit penguatkuasaannya akan terus melaksanakan pemeriksaan di pintu keluar masuk utama, rondaan ke atas operasi penangkapan ikan dan pemantauan di pasar-pasar ikan serta pasar raya secara berterusan.

"Ini bagi memastikan sumber ikan termasuk ikan yu dan pari dapat diurus secara cekap," katanya.