Pemimpin parti politik bakal bertemu Agong?

Tangkap layar Twitter Khairuddin
Tangkap layar Twitter Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa media arus perdana dan portal berita pada Isnin rancak melaporkan mengenai siri mesyuarat membabitkan pemimpin parti politik dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Berdasarkan sumber masing-masing, pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong itu didakwa sedang dalam perancangan dan bakal berlangsung selama beberapa hari dikatakan bermula pada 9 Jun ini.

Menurut Astro Awani, seorang sumber yang rapat dengan pimpinan kanan UMNO memberitahu, mereka difahamkan pertemuan itu dirancang melibatkan penasihat-penasihat parti politik serta wakil dari Parlimen dan Pejabat Peguam Negara.

Bagaimanapun, sumber berkenaan berkata, belum ada surat rasmi dari Istana Negara mengenai individu yang dibenarkan hadir termasuk kepada barisan presiden parti-parti politik di negara ini.

“Perkara ini dari segi dalaman tidak diperincikan lagi tetapi perjumpaan Yang di-Pertuan Agong dengan beberapa ketua parti adalah betul dan berkemungkinan termasuk bersama penasihat-penasihat parti,” katanya seperti dilaporkan agensi berita itu pada Isnin.

Sehingga petang Isnin, Sinar Harian sudah mendapatkan beberapa pemimpin kanan parti pembangkang, namun mereka mendakwa masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai perkembangan berkenaan sehingga kini.

Antaranya, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil ketika dihubungi tidak dapat mengesahkan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menerima sebarang maklumat dan jemputan mengenainya.

“Saya tiada maklumat. Susah (bagi saya) hendak buat sebarang spekulasi mengenainya dan bahaya jika membuat sebarang spekulasi mengenai perkara sebegini," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu akhbar The Star yang juga memetik sumber sebagai berkata, perjumpaan berprofil tinggi itu akan dimulai dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Rabu (9 Jun), diikuti DAP dan PKR pada 10 Jun, seterusnya Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan UMNO pada 11 Jun.

Pada Isnin, bekas ahli UMNO Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang dikenali sebagai penyokong kuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memuat naik sebuah grafik mengucapkan terima kasih kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung suatu Majlis Mengadap oleh semua ketua-ketua dari keseluruhan parti-parti politik.

“Keseluruhan rakyat menyandarkan harapan yang tinggi kepada kebijaksanaan KDYMM Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu untuk mencari satu formula penyatuan ke arah membina semula Malaysia demi kesejahteraan masa depan bangsa, negara serta agama,” katanya.

Bagaimanapun Khairuddin, ketika dihubungi pemberita enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan dan grafik yang beliau sertakan di laman media sosialnya.