Pahang catat 99 kes baharu Covid-19

Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah
Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pahang merekodkan 99 kes baharu Covid-19 pada Isnin menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif di Pahang mencecah angka 10,825 kes.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, daripada kes baharu yang didaftarkan hari ini, 88 kes merupakan warganegara dan 11 kes melibatkan warganegara asing.

Menurutnya, sembilan daerah mencatatkan pertambahan kes dengan Kuantan mencatatkan kes tertinggi 44 kes, diikuti Bentong (17), Jerantut (13), Temerloh (12), Cameron Highlands (6), Maran (3), Pekan (2) dan masing-masing satu kes di Bera dan Raub.

"Terdapat lapan kluster mencatatkan pertambahan kes iaitu Kluster Industri Mentakab (pertambahan 3 kes), Kluster Kg Gau (pertambahan 1 kes), Kluster Jalan Sudirman (pertambahan 2 kes) dan Kluster KM 6 Jalan Lipis (pertambahan 1 kes ).

"Kluster lain yang menunjukkan tambahan kes, Kluster Kg Paya Teh (pertambahan 1 kes), Kluster Delima Raya (pertambahan 9 kes), Kluster Jaya Gading (pertambahan 13 kes) dan Kluster Batu 10 Jalan Gambang (pertambahan 2 kes)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dr Bahari berkata, sehingga jam 12 tengah hari pada Isnin, 1,066 kes positif Covid-19 dirawat di lapan hospital dan enam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini manakala 224 kes berada dalam pengawasan di rumah.

"Daripada jumlah ini, terdapat 25 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sebanyak 17 kes dan Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh (8 kes) manakala 14 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan," katanya.

Artikel Berkaitan: