X

Kindly register in order to view this article
!

Lagi tujuh lokaliti di Sabah, satu di Perak dikenakan PKPD

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh lokaliti di Sabah dan satu di Perak mulai Rabu hingga 22 Jun ini susulan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang dilaksanakan di Sabah itu melibatkan lima lokaliti di Tawau iaitu Kampung Tanjung Batu Darat, Taman Apas Permai, Bandar Sri Indah, Taman Megah Jaya dan Jalan Budi, Sri Tanjung.

Ismail Sabri memberitahu, dua lokaliti lagi membabitkan Taman Perdana, Lahad Datu dan Kampung Narandang, Kudat.

“Pelaksanaan PKPD ini memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan pengesanan awal kes serta memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti kekal berada di dalam kawasan PKPD bagi mengelakkan penularan jangkitan keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ismail Sabri berkata, di Perak pula, PKPD membabitkan kawasan Politeknik Sultan Azlan Shah, Mualim dan turut berkuatkuasa mulai Rabu hingga 22 Jun ini.

“KKM pada Isnin melaporkan peningkatan kes Covid-19 yang ketara dalam tempoh yang singkat di Politeknik Sultan Azlan Shah, Mualim.

“Ini kerana sebanyak 37 kes positif telah direkodkan daripada 173 ujian saringan yang dilakukan dengan kadar positiviti 21.4 peratus,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memaklumkan kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di tiga mukim dalam daerah Lipis dan satu di Bandar Triang, Bera, Pahang.

“Dua lagi di Putatan, Sabah iaitu Taman Seri Ketiau dan Taman Desa Seri Ketiau serta Kampung Sungai Imam, Tawau,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!