Pembangkang tiada maklumat pembentukan kerajaan baharu

Khalid Abdul Samad, Fahmi Fadzil
Khalid Abdul Samad, Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin pembangkang mendakwa bahawa mereka tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai pembentukan sebuah kerajaan baharu dalam masa terdekat ini.

Beberapa pemimpin memberikan maklum balas demikian selepas sebuah portal berita yang memetik sumbernya mendakwa bahawa Istana Negara akan memanggil semua pemimpin parti politik menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Laporan portal itu menyatakan, semua pemimpin parti politik akan dipanggil bagi membentuk pentadbiran baharu selepas mendakwa kerajaan semasa tidak dapat menangani penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad memberitahu, setakat ini Amanah tidak menerima sebarang maklumat mahupun jemputan mengenai perkara yang dibangkitkan sumber itu.

“Saya tiada maklumat, perkara ini lebih baik ditanyakan kepada Presiden (Presiden Amanah, Mohamad Sabu) sendiri sekiranya benar tetapi setakat ini memang kepimpinan Amanah tiada maklumat mengenainya.

"Perlu periksa semula sumber itu samada betul atau tidak. Kadang-kala sumber ini boleh cakap macam-macam. Saya tidak tahu apa tujuan dan siapa sebarkan perkara ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil ketika dihubungi tidak dapat mengesahkan bahawa Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menerima sebarang maklumat dan jemputan mengenainya.

“Saya tiada maklumat. Susah bagi saya hendak buat sebarang spekulasi mengenainya dan bahaya jika membuat sebarang spekulasi mengenai perkara sebegini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Laporan yang diterbitkan portal berkenaan pada Ahad malam tular menerusi aplikasi WhatsApp dan menimbulkan pelbagai spekulasi ketika negara sedang menghadapi gelombang baharu penularan pandemik Covid-19.