Dua bot nelayan asing tahan

Muhammad Suffi (kiri) menunjukkan sebahagian hasil tangkapan laut yang dirampas daripada kedua-dua bot ditahan.
Muhammad Suffi (kiri) menunjukkan sebahagian hasil tangkapan laut yang dirampas daripada kedua-dua bot ditahan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua bot nelayan yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan disyaki bot nelayan asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di dua lokasi yang berbeza pada jarak 24 dan 35 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, dua bot yang menceroboh perairan negara itu berjaya ditahan kapal Maritim KM Pekan yang sedang melakukan rondaan Ops Iman, antara jam 1.55 hingga 3.10 petang.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua bot ini melanggar syarat lesen dan disyaki bot nelayan asing yang menggunakan nombor pendaftaran negara bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan, kita menahan seramai sembilan awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berusia antara 23 hingga 39 tahun daripada dua bot itu.

"Selain itu, nilai rampasan daripada kedua-dua bot itu dianggarkan bernilai hampir RM1.2 juta termasuk hasil tangkapan laut sebanyak 9 tan, 6,000 liter minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua bot tersebut di bawa ke jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki memalsukan dokumen bot dan juga melanggar syarat-syarat lesen.

Selain itu, tegas Muhammad Suffi, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara.

"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Maritim.

Artikel Berkaitan:

"Justeru itu, kerjasama daripada masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Terengganu," katanya.